TINTA BICARA HARI MALAYSIA: KENALI NEGERI SARAWAK

DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025
NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 3: KESEPADUAN NASIONAL (SEMANGAT KENEGARAAN)

 

Latar Belakang Negeri

Sarawak, sebuah negeri yang juga dikenali sebagai Bumi Kenyalang terletak di wilayah barat Malaysia dan merupakan negeri yang terbesar antara 13 buah negeri di Malaysia. Dengan kawasan seluas 124,449.51 kilometer persegi, negeri ini membentuk 34.5% dari jumlah keluasan Malaysia. Sarawak dipisahkan dari Semenanjung Malaysia oleh jarak 600 km Laut Cina Selatan dan bersempadan dengan negeri Sabah, negara Brunei Darussalam dan negara Indonesia. Sungai Rajang yang terdapat di Sarawak merupakan sungai terpanjang di Malaysia, di samping Gua Mulu yang terkenal sebagai sistem gua yang paling luas di dunia. Selain dari itu, hutan hujan tropika yang tertua dan yang kedua terbesar selepas Amazon terletak di negeri ini.

Sarawak diterajui oleh Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak. Ianya terbahagi kepada 11 bahagian pentadbiran, yakni Kuching (ibu negeri), Kota Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu, Mukah, Miri dan Limbang. Dari 11 bahagian pentadbiran ini, Sarawak mempunyai 40 daerah iaitu Kuching, Bau, Lundu di bahagian Kuching, Kota Samarahan, Asajaya dan Simunjan  di bahagian Samarahan, Sri Aman dan Lubok Antu di bahagian Sri Aman, Sibu, Kanowit dan Selangau di bahagian Sibu, Miri, Marudi, Subis, Beluru dan Telang Usan di bahagian Miri, Limbang dan Lawas di bahagian Limbang, Sarikei, Maradong, Julau dan Pakan di bahagian Sarikei, Kapit, Song, Belaga, dan Bukit Mabong di bahagian Kapit, Bintulu, Tatau dan  Sebauh di bahagian Bintulu, Mukah, Dalat, Matu, Daro dan Tanjung Manis di bahagian Mukah, Betong, Saratok, Kabong dan Pusa di bahagian Betong dan akhir sekali, Serian dan Tebedu di bahagian Serian.

 

Bendera Negeri 

Bendera negeri Sarawak mempunyai tiga warna iaitu merah, hitam dan kuning. Warna merah melambangkan keberanian, kesungguhan dan pengorbanan rakyat dalam daya usaha mereka yang berterusan untuk mengejar serta mempertahankan kemajuan dan ketinggian maruah dalam proses membina Sarawak sebagai negeri contoh. Warna hitam melambangkan kekayaan sumber asli Sarawak seperti minyak mentah, balak dan sebagainya yang merupakan landasan bagi memajukan rakyatnya. Warna kuning melambangkan keagungan Perundangan dan Peraturan, perpaduan serta stabiliti dalam masyarakat yang berbilang kaum. Bintang yang berwarna kuning berbucu sembilan melambangkan sembilan bahagian yang rakyatnya tinggal di dalam harmonis.  Simbol bintang juga merupakan cita-cita tinggi rakyat dan hasrat perjuangan untuk meninggikan mutu kehidupan selepas kemerdekaan.

 

Jata Negeri

Jata negeri Sarawak berupa burung Kenyalang menggembangkan sayapnya dengan perisai yang mempunyai bendera negeri di dadanya. Sayap burung kenyalang ini mempunyai 13 butir bulu, melambangkan 13 buah negeri di Malaysia. Bunga raya merupakan bunga kebangsaan Malaysia terletak di sebelah kanan dan kiri kaki burung.  Burung Kenyalang ini bertenggek di atas reben yang memaparkan cogan kata negeri ‘Bersatu, Berusaha, Berbakti’.

 

Lirik Lagu Negeri

Sarawak tanah airku

Negeriku tanah airku Sarawak

Engkaulah tanah pusakaku

Tanah tumpah darahku

Ibu pertiwiku

Rakyat hidup mesra dan bahagia

Damai muhibbah sentiasa

Bersatu berusaha berbakti

Untuk Sarawakku cintai

Sarawak dalam Malaysia

Aman makmur rahmat Tuhan Maha Esa

Kekallah Sarawak bertuah

Teras perjuangan rakyat

Berjaya berdaulat

Artikel/Berita Terkini

PENTINGKAH KEAMANAN DAN KEDAMAIAN DALAM SESEBUAH NEGARA?

Saban hari, persoalan tersebut sering bermain di fikiran setiap generasi muda yang baru hendak melangkah ke alam dewasa. Di mana …
Maklumat Lanjut

PENGETAHUAN CPR MASIH RENDAH DIKALANGAN MASYARAKAT KITA

Pengetahuan asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam kalangan masyarakat  di negara ini masih rendah meskipun bilangan kes kematian mengejut dilaporkan …
Maklumat Lanjut

DASAR TRANSFORMASI DIGITAL, PELAN NTER DAN NIMP 2030 BANTU PELABUR MELIHAT KEKUATAN YANG ADA PADA MALAYSIA

DASAR TRANSFORMASI DIGITAL, PELAN NTER DAN NIMP 2030 BANTU PELABUR MELIHAT KEKUATAN YANG ADA PADA MALAYSIA Datuk Seri Anwar Ibrahim …
Maklumat Lanjut