KUALA TERENGGANU, 12 SEPT 2022
Ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai banjir besar yang dijangka melanda beberapa negeri pada November ini seharusnya menjadi penggera amaran kepada semua pihak, terutamanya jabatan dan agensi pengurusan bencana. Malah rakyat juga perlu bersiap sedia dan melakukan persiapan bagi menghadapi bah besar ini.
Tempoh tidak sampai 2 bulan dari sekarang adalah fasa kritikal untuk kita semua membuat persiapan menghadapi banjir. Kita tidak mahu insiden banjir besar yang pernah berlaku di beberapa negeri seperti di Lembah Klang berulang kembali. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latif Ahmad berkata kerajaan akan melibatkan lebih banyak agensi yang akan bergerak bersama bagi tujuan ini. Lebih 50,000 sukarelawan di peringkat komuniti dilatih untuk menghadapi kemungkinan bencana banjir besar. Selain itu, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang berfungsi mengumpul maklumat dan menyalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga akan diperkasakan untuk tindakan segera terhadap mangsa banjir.
Dalam konteks βKeselamatan Negara Tanggungjawab Bersamaβ, setiap individu, harus berupaya mengambil langkah proaktif, seperti membaca ramalan cuaca dan membuat persediaan kelengkapan kecemasan, agar kemungkinan buruk dapat dikurangkan malah dielakkan andai berlaku musibah di masa hadapan. Sebahagian tanggungjawab itu harus diletak di bahu kita semua sebagai ketua keluarga, ketua komuniti, masyarakat, individu yang berada di kawasan bencana dan bukan semata-mata pihak kerajaan sahaja.