TINTA BICARA HARI MALAYSIA: KENALI NEGERI KELANTAN

DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025

NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 3: KESEPADUAN NASIONAL (SEMANGAT KENEGARAAN)

 

Latar Belakang Negeri

Kelantan yang dikenali sebagai Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Serambi Mekah pada masa dahulu adalah berasal daripada perkataan “kilatan” atau “kelam hutan” atau “gelam hutan” (Melaleuca Leucadendron). Negeri ini merupakan salah sebuah negeri yang tertua di
Semenanjung Malaysia dan dipercayai telah diduduki sejak zaman prasejarah lagi dengan penemuan barang purba seperti kapak batu dan bahan-bahan tembikar di Gua Cha, di tebing barat Sungai Nenggiri.

Kelantan yang mempunyai keluasan 15,040km2 adalah terletak di timur laut Semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan dan bersempadan dengan Thailand di sebelah Utara. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi Negeri Kelantan dengan nilai RM16.7bilion diikuti dengan sektor pertanian yang menyumbang RM5.4bilion kepada KDNK negeri pada tahun 2018. Negeri ini mempunyai 11 jajahan merangkumi Jajahan Bachok, Kota Bharu (Ibu Negeri), Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat, Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Kecil Lojing. Faktor persempadanan Negeri Kelantan dengan Negara Thailand menyebabkan banyak aspek kebudayaan dan corak hidup negara berkenaan mempengaruhi masyarakat di Negeri Kelantan, termasuklah loghat pertuturan, makanan, pakaian dan sebagainya.

Kelantan turut kaya dengan khazanah warisan bangsa yang tak lapuk di hujan dan tak lekang dek panas. Permainan hiburan tradisional rakyat iaitu dikir barat, wayang kulit, gasing, wau bulan, kertok dan rebana ubi serta seni ukiran kayu, pertukangan perak, batik dan songket terus utuh dan mampu menjadi tarikan pelancong sepanjang zaman.

 

Bendera Negeri

Pada tahun 1900 sehingga tahun 1920, Kesultanan Kelantan yang diperintah Almarhum Sultan Muhammad IV ibni Almarhum Sultan Muhammad III menggunakan bendera yang berlatarkan warna putih dan mengandungi kaligrafi ayat al-Quran yang menyerupai bentuk seekor singa. Kaligram singa tersebut dikaitkan dengan Saidina Ali Abi Talib iaitu kahlifah Islam yang keempat sebagai tanda penghormatan kepada keluarga beliau Pada bahagian ekor haiwan tersebut, terdapat perkataan “Kerajaan Kelantan” dalam tulisan jawi manakala pada badan haiwan tersebut tersebut ditulis petikan ayat ke-13 dalam surah Al-Saff yang bermaksud:

“…Pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang cepat (masa Berlakunya) dan sampaikanlah berita menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman…”

Pada penghujung tahun 1920, Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Muhammad IV yang merupakan Sultan Kelantan pertama menjalani istiadat kemahkotaan telah mengubah bentuk bendera negeri Kelantan kepada bendera yang berwarna merah dan putih. Baginda (Sultan Ismail) juga menitahkan supaya ditambah dua buah symbol di dalam jata negeri iaitu mahkota dan dua ekor kijang yang kekal digunakan sehingga hari ini.

 

Jata Negeri

Jata negeri Kelantan memperlihatkan bulan sabit dan bintang yang melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi negeri Kelantan. Selain itu, dua laras meriam yang terdapat dalam jata negeri Kelantan bermaksud negeri ini sentiasa bersedia mempertahankan hak dan kedaulatannya. Mahkota membawa maksud kedaulatan Raja-raja Melayu memerintah Kelantan.

Jata negeri Kelantan turut memperlihatkan dua tombak dan dua keria sebagai lambang kekuatan dan kegagahan orang-orang Melayu Kelantan. Dua ekor kijang sebagai tanda ingatan kepada Raja Perempuan Kelantan pada penghujung kurun-14, Cik Siti Wan Kembang (Che Siti) yang sangat mengasihi kijang kesayangannya.

Frasa “Berserah Kepada Tuhan Kerajaan Kelantan’ dalam tulisan jawi merupakan cogan kata negeri Kelantan.

 

Lagu Negeri

Lanjutkan usia Al-Sultan kami

Sultan Kelantan raja Ikrami

Aman Sentosa Tuhan sirami

Kekal memerintah kami

Kasih dan taat setia disembahkan

Keriangan diucapkan

Segala kebesaran Allah cucurkan

Bertambah kemuliaan

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …