SISTEM GEOTANAMAN DAN GEOTANIH PERKUKUH RANTAIAN SISTEM MAKANAN NEGARA

DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2022

NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 8 : KESELAMATAN RAKYAT (Keselamatan Makanan)

SUBANG JAYA, 4 Julai 2022 : Kerajaan memperkenalkan sistem GeoTanaman dan GeoTanih bagi memperkukuhkan rantaian sistem makanan negara dalam usaha mengurangkan impak akibat krisis makanan dunia.

Sistem GeoTanaman dibangunkan menggunakan konsep berorientasikan perkhidmatan seni bina yang boleh diakses melalui web dan telefon bimbit bagi mendapatkan maklumat koordinat kawasan tanaman makanan negara. Pengguna sistem juga boleh mengurus dan menganalisis maklumat serta data guna tanah Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan. Pengguna sistem Geotanaman ini terdiri daripada seluruh rantaian pengeluar makanan antaranya membabitkan petani dan pemborong.

Manakala sistem GeoTanih dibangunkan untuk memudahkan carian jenis tanah dan kesesuaian tanaman bagi setiap lokasi dengan penggunaan sistem dalam talian di mana ia dapat mengakses maklumat tanah yang dicerap di lapangan melalui aktiviti siasatan tanah dan boleh diperolehi dalam bentuk bercetak atau digital.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata melalui dua (2) sistem ini, ia berupaya menjadikan subsektor tanaman makanan lebih efisien dan lestari sekali gus memberi kelebihan buat pengguna dan petani. Fokus utama sistem GeoTanaman adalah untuk memperkasakan ekonomi usahawan tani khususnya dalam menyediakan bekalan makanan yang berkualiti dan selamat dimakan kepada rakyat dan negara.

Sistem ini diyakini memberi manfaat kepada petani dan pemborong dalam merancang pengeluaran hasil tanaman makanan mengikut pemintaan dan penawaran, serta membuka ruang pasaran untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain industri makanan. Ianya juga akan menjimatkan kos, mesra pengguna, interaktif, mudah difahami dan boleh diakses oleh semua pemegangtaruh termasuk jabatan atau agensi lain. Tujuannya adalah untuk membantu rakyat terutamanya petani memperkukuhkan rantaian sistem makanan negara terutamanya dalam subsektor tanaman makanan supaya lebih efisien dan lestari bagi mengurangkan impak akibat krisis makanan.

Sistem GeoTanaman ini dibina bagi mencapai dua (2) objektif utama iaitu bagi imbangan perdagangan (BOT) Tanaman Makanan dalam mengatasi lambakan sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan serta kemasukan bekalan itu secara import. Objektif kedua pula adalah bagi membangunkan Pangkalan Data Geospatial Inventori Tanaman Negara bersepadu yang teratur, seragam dan sentiasa dikemaskini ke arah Transformasi Pertanian Digital.

Sehingga kini, lebih 1,200 pengguna sudah berdaftar dalam sistem Geotanaman yang terdiri daripada golongan petani, pemborong, kedai input baja dan racun dan pengusaha industri asas tani. Padanan pasaran atau e-dagang secara terus di antara usahawan tani dengan pengeksport juga boleh dicapai secara dalam talian melalui sistem GeoTanaman ini.

Ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI, Puan Azah Hanim Ahmad. Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Zahimi Hassan.

Sementara itu, Datuk Zahimi berkata, Jabatan Pertanian Malaysia yang berperanan sebagai pemadan tanah negara bertanggungjawab membuat inventori dan repositori data tanah berdasarkan sistem klasifikasi tempatan dan rujukan antarabangsa.

Melalui data ini, maklumat profil tanah dan kesesuaian tanah untuk tanaman boleh diketahui, malah ia menjadi elemen utama dalam perancangan pembangunan pertanian dan keselamatan negara. Sistem ini akan diintegrasi dengan maklumat pemuliharaan dan kesuburan tanah bagi membantu pemegang taruh mendapatkan maklumat pengurusan tanah secara lestari dalam satu sistem pada masa akan datang.

 

SUMBER :

Berita Harian

Artikel/Berita Terkini

PENYELUDUPAN TERNAKAN JEJAS KESELAMATAN MAKANAN – SULTAN TERENGGANU

KUALA TERENGGANU: Penyeludupan haiwan ternakan tanpa saringan kesihatan dan sijil pengesahan bebas penyakit akan memberi kesan kepada keselamatan makanan. Sultan …
Maklumat Lanjut

TENTERA GAGALKAN CUBAAN SELUDUP BAWANG

KUCHING : Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan menyeludup bawang merah ke Kalimantan Barat menerusi ‘laluan gajah’ di sempadan …
Maklumat Lanjut

KASTAM RAMPAS MINUMAN KERAS, ROKOK RM1.59 JUTA

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup minuman keras dan rokok putih bernilai RM1.593 juta di pelabuhan …
Maklumat Lanjut