BENTONG, 16 Jun 2022 – Kerajaan Negeri Pahang telah menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); sumbangan daripada Kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain peruntukan Kerajaan Negeri sendiri bagi membina baharu rumah-rumah yang musnah (total lost) serta membaik pulih rumah-rumah yang mengalami kerosakan ketika Pahang dilanda banjir pada penghujung tahun 2021.
Kerja-kerja membina baharu dan membaik pulih rumah ini melibatkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM44.054 juta.ย Melalui peruntukan ini, sebanyak 148 buah rumah akan dibina baharu dengan harga setiap buah RM75,000 (tidak bertiang) dan RM100,000 (bertiang), manakala 3,948 unit rumah akan dibaikpulih dengan anggaran kos sehingga RM15,000 sebuah.
Kerja-kerja verifikasi dan pembaikan kerosakan rumah-rumah mangsa telah bermula seawal Januari 2022 dan sebahagiannya masih lagi berjalan. Dijangka kesemuanya akan selesai selewat-lewatnya Ogos 2022. Manakala kerja-kerja bina baharu 148 buah rumah akan bermula bulan ini (Jun 2022) dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pertengahan September 2022.
Pelbagai agensi terlibat dalam pelaksanaan kerja-kerja bina baharu dan baikpulih rumah-rumah ini iaitu Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kerja Raya, Syarikat Perumahan Negara Berhad, PR1MA Malaysia, FELCRA Bina dan Giat Mara.
Pemantauan pelaksanaan akan terus dilaksanakan sehingga kerja-kerja pembinaan dan baik pulih rumah disiapkan dengan sempurna.
Adalah diharapkan dengan bantuan ini mangsa-mangsa banjir dapat menikmati keselesaan hidup selepas bencana yang melanda.
Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dalam soal kebajikan rakyat dan akan menyalurkan segala bentuk bantuan yang sewajarnya bagi membela nasib mereka yang memerlukan.