APMM rampas ganja terapung bernilai RM2.23 juta di perairan Kuala Perlis

KANGAR: Bungkusan plastik yang berselerakan terapung di dua lokasi berasingan di perairan Kuala Perlis semalam, menemukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis dengan 446 ketulan mampat ganja dianggarkan bernilai mencecah RM2.23 juta.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Saliza Ahmad, berkata ganja berkenaan dipercayai cuba diseludup masuk dari Thailand.

Katanya, penemuan ketulan ganja dengan berat kira-kira 446 kilogram (kg) itu berlaku ketika rondaan rutin Op Aman oleh peronda APMM di sekitar perairan Kuala Perlis.

“Rampasan pertama dilakukan selepas kita menjumpai beberapa bungkusan plastik hitam terapung yang mencurigakan di kedudukan 4.4 batu nautika barat muara Kuala Perlis pada jam 10.33 pagi sebelum penemuan kedua di posisi 2.2 batu nautika barat daya muara Kuala Perlis pada jam 11.15 pagi.

“Curiga dengan bungkusan yang ditemui di kedua-dua lokasi itu, kami memeriksa kandungannya dan mendapati terdapat 18 bungkusan guni plastik berwarna putih yang mengandungi 446 ketulan mampat dadah jenis ganja dengan anggaran berat 446 kg bernilai RM2.23 juta,” katanya pada sidang media di Pejabat APMM Zon Maritim Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Saliza berkata, pihaknya percaya ganja berkenaan cuba diseludup ke negara ini dengan menghanyutkan bungkusan plastik sebelum diambil anggota sindiket dari negara ini untuk dibawa ke daratan dan diedarkan ke pasaran sekitar negeri utara seperti Perlis, Kedah serta Pulau Pinang.

“Modus operandi yang digunakan adalah anggota sindiket dari Thailand akan membawa bungkusan ganja itu untuk ditukarkan dengan bekalan daun ketum yang dibawa oleh sindiket sama dari negara ini menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut berkuasa tinggi.

“Kita percaya bagi mengelakkan daripada ia dikesan pihak berkuasa negara ini, sindiket yang membawa ganja itu akan menghanyutkan bungkusan bekalan ganja berkenaan sebelum memaklumkannya kepada anggota sindiket di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, tiada laporan berlaku kejadian bot karam di sekitar perairan ini dalam masa terdekat sehingga menyebabkan bungkusan ganja itu boleh hanyut dan terapung.

“Bagi kes ini, kita berjaya memintas terlebih dahulu dan berkemungkinan arus kuat menyebabkan bungkusan ganja ini ditemui di dua lokasi yang masing-masing berjarak sekitar empat kilometer,” katanya.

Setakat ini, katanya, tiada tangkapan dilakukan dan kesemua rampasan dibawa ke jeti APMM Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya.

“Ganja yang dirampas ini dianggarkan mampu membekalkan sekitar 44,600 penagih dadah di negara ini dengan setiap satu ketulan mampat ini mampu mencecah sehingga RM5,000.

“Ini adalah rampasan dadah terbesar bagi APMM Zon Maritim Kuala Perlis yang juga rampasan terbesar bagi Maritim Negeri Kedah dan Perlis awal tahun ini.

“Rampasan pertama membabitkan ganja berlaku di perairan Kuala Perlis pada 3 Februari lalu dengan jumlah berat sekitar 30 kg yang bernilai kira-kira RM150,000,” katanya.

 

 

Sumber : Berita Harian (22/03/2022)

Artikel/Berita Terkini

𝗙𝗟𝗢𝗦 𝗣𝗘𝗥𝗚𝗜𝗚𝗜𝗔𝗡

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Klinik Pergigian …
Maklumat Lanjut

ELAK BULI JALAN RAYA, SABAR KETIKA MEMANDU JAMIN KESELAMATAN

Perjalanan di jalan raya dalam satu tempoh yang panjang dan berdepan dengan kesesakan adalah satu cabaran besar kepada pemandu. Pada …
Maklumat Lanjut

INFO KESIHATAN: TIPS JAGA JANTUNG UNTUK KEKAL SIHAT

Penyakit jantung antara pembunuh utama di Malaysia. Mulakan tekad untuk mengamalkan gaya hidup sihat bagi memastikan jantung kita sentiasa sihat …
Maklumat Lanjut