MENGIMPIKAN LORONG BUKU DI KUALA LUMPUR

SEJAK lama dulu saya mengimpikan sebuah lorong buku di Kuala Lumpur. Kawasannya di jalan kecil atau lorong di tengah Kuala Lumpur yang di kiri dan kanan penuh dengan deretan kedai buku.

Secara mingguan atau bulanan ada acara perbukuan – bedah atau bincang buku dan macam-macam lagi berkaitan buku.

Acara begini lebih pada apresiasi terhadap buku yang menyimpan pemikian besar daripada generasi kepada generasi. Tanpa lorong buku, isi kandungan yang sarat pemikiran ini akan berselerak dan tidak sampai kepada khalayak.

Malah pelancong juga tertarik dan selebihnya akan melihat buku-buku langka mengenai Malaysia dalam bahasa Inggeris.

Lorong buku ini mesti dikhususkan untuk buku terpakai. Barangkali ada bertanya, kenapa buku terpakai dan bukan buku baharu? Dalam dunia perbukuan, definisi buku terpakai bukan ‘barang lama’ yang susut nilai. Sebaliknya sesetengah buku semakin lama semakin bernilai isi kandungannya.

Memasarkan semula buku terpakai adalah memberi peluang kepada khalayak mendapatkan buku-buku yang lama diterbitkan dan masih relevan dengan keadaan semasa. Buku terpakai mempunyai peminat yang ramai, kini mereka hanya bergantung mendapatkan melalui pemasaran di media sosial.

Buku adalah satu benda yang tidak pernah luput tarikhnya. Ilmu dan pemikiran dalam buku sentiasa relevan dengan semua zaman dan bentuk perubahan sosial dalam masyarakat.

Walaupun sesetengah buku terpakai berkeadaan uzur, tetapi harga sesetengahnya berganda berbanding buku baharu.

Di mana peminat buku hendak mendapatkan buku langka seperti itu? Kedai buku biasa tidak menjual buku terpakai kecuali Junk Book Store di Jalan Tun HS Lee di Kuala Lumpur. Ini kedai buku terpakai terbesar di negara ini.

Selain itu tidak ada kecuali deretan kedai buku terpakai yang diusahakan oleh pertubuhan Kota Buku Bangi, di Street Mall, Bangi Gateway, Bangi. Kota Buku Bangi menjadikan Street Mall sebagai lubuk buku terpakai terbesar di negara ini. Ada lebih 10 kedai yang menjual buku terpakai dalam pelbagai genre.

Ini adalah ciri-ciri lorong buku yang saya impikan di Kuala Lumpur.

Alangkah meriahnya kalau usaha Kota Buku Bangi ini dikembangkan ke Kuala Lumpur kerana sudah ada lebih 10 penjual yang merintis satu konsep lorong buku walaupun skalanya agak kecil. Kegiatan seperti ini menuntut iltizam daripada pelbagai pihak terutama kerajaan untuk membantu di segi prasarana.

Lorong buku bukanlah suatu yang baru di bandar-bandar besar di luar negara. Hampir semuanya mempunyai lorong buku atau kawasan khusus menjual buku terpakai yang bukan sahaja dikunjungi oleh orang tempatan, malah pelancong dari luar negara.

Konsep pelancongan buku (bibliotourism) telah lama dilakukan di luar negara. Industri pelancongan turut digerakkan oleh dunia perbukuan yang unik selain kedai-kedai buku yang bertaraf mega. Peminat buku dari seluruh dunia akan mencari lorong buku sebelum membeli belah.

Lorong buku menjadikan sesebuah bandar atau bandar raya berdiri dengan semangat dan jiwanya yang tersendiri apabila kegiatan yang dianjurkan di sekitarnya menjurus pada yang mengkayakan pemikiran.

Kuala Lumpur perlu mempunyai jiwa dan semangat sedemikian dengan kegiatan yang seperti ini, selain acara menjurus gaya hidup hedonisme dan hiburan.

Di London misalnya, antara tempat wajib dikunjungi oleh peminat buku dari seluruh dunia ialah Cecil Court.

Di situ merupakan kawasan buku terbesar di London yang menempatkan deretan kedai buku di kiri dan kanan lorong pejalan kaki. Saban hari lorong itu sesak dengan orang ramai, sebahagian besar peminat dan pemburu buku.

Peminat buku akan ‘mabuk’ apabila berada di lorong ini, hampir sebuah bidang buku ada di situ. Tidak semestinya membeli, melihat suasana sambil menikmati aroma buku pun sudah sangat cukup.

Cecil Court menjadi agenda utama peminat buku apabila berada di London, seperti sesetengah orang Malaysia yang teruja membeli belah sakan di Oxford Street.

Cecil Court merupakan lorong buku yang menghubungkan Charing Cross Road dan St. Martin’s Lane, satu-satunya laluan pejalan kaki yang paling dekat untuk ke Leicester Square. Di kiri dan kanan lorong pejalan kaki ini penuh dengan lot-lot kedai di bangunan yang didirikan pada abad ke-19.

Malah kedai buku tertua di Cecil Court, Watkins Book yang mula beroperasi pada 1901 masih teguh berdiri. Secara tidak langsung menjadi ikon lorong buku yang paling besar lagi berpengaruh ini.

Tatkala berdiri di tengah-tengah lorong buku ini, kita pasti berada kerdil dalam tradisi perbukuan yang besar di negara orang.

Sebenarnya mewujudkan lorong buku bukanlah suatu yang membebankan, apa lagi pembaziran. Usaha begini digerakkan dengan iltizam yang tinggi daripada kalangan pembuat dasar dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab ke atas pembangunan manusia.

Buku adalah satu-satunya bahan bacaan yang merentas garis sosial, agama, fahaman politik dan budaya. Semua mereka dalam kelas sosial ini perlu membaca buku.

Ini menunjukkan buku suatu yang sangat demokratik sifatnya. Boleh diakses oleh semua lapisan – sama ada yang sarapan di hotel lima bintang atau di gerai teh tarik di kaki lima.

Memang benar dalam konteks lorong buku Malaysia khususnya Kuala Lumpur sudah terlambat dan ditinggal jauh di belakang bandar raya yang lebih kecil.

Tetapi kalau tidak dimulai sekarang, terlambat dan ketinggalannya menjadi berganda. Lorong buku mesti dimulai, biarpun pada skala yang kecil.

Memanglah agak malu apabila Kuala Lumpur berada di belakang bandar raya Ho Chi Minh di Vietnam yang sudah lama mewujudkan Saigon Book Street.

Lorong buku ini memperlihatkan iltizam kerajaan untuk membudayakan masyarakat dengan buku.

Walaupun ekonominya agak di belakang Malaysia, tetapi iltizam kerajaan membangunkan hal-hal yang berkaitan keperluan manusia jauh lebih di depan.

Malah prasarana Ho Chi Minh sendiri tidak sehebat Kuala Lumur. Tidak banyak bangunan yang tingginya mencakar awan seperti Kuala Lumpur.

Tetapi yang lebihnya di sana ada lorong buku walaupun bukan projek mega yang menelan belanja besar. Ini projek membina manusia.

Saya menjangkakan lorong buku di Kuala Lumpur tidak menelan belanja yang sangat besar. Kalau boleh buat seperti Saigon Book Street pun sudah baik.

Tetapi tidaklah membayangkan Kuala Lumpur akan ada kasawan buku seperti Cecil Court, di London atau Palasari, di Bandung. Itu terlalu besar bagi Kuala Lumpur yang belum bermula.

Diharapkan lorong buku di Kuala Lumpur bukan selamanya sebuah mimpi. Bagaimanapun ini hanya catatan kecil daripada warga biasa tiada kuasa. Kepada yang mempunyai kuasalah kata putusnya.

SUMBER: WILAYAHKU https://www.wilayahku.com.my/ 

Artikel/Berita Terkini

TEKAN PEMATUHAN GARIS PANDUAN DAN ASPEK KESELAMATAN PEMBINAAN MENARA TELEKOMUNIKASI

KUANTAN, 25 APRIL 2024 : Keselamatan menara dan struktur sistem pemancar telekomunikasi adalah penting di mana pembinaannya perlu mengikut spesifikasi …
Maklumat Lanjut

DUA AHLI ‘GENG BEAN’ AKTIF CURI MOTOSIKAL DI KL, JUAL DI SEREMBAN TUMPAS

Polis menumpaskan ‘Geng Bean’ yang aktif mencuri motosikal dengan penahanan dua lelaki dalam serbuan berasingan sekitar ibu kota dan Seremban, …
Maklumat Lanjut

PROGRAM BUDAYA TIGA SERUMPUN 2024 TERUS PERKUKUH TIGA NEGARA

Program Budaya Tiga Serumpun 2024 menjadi platform memartabatkan Bahasa Melayu serta mengukuhkan persaudaraan antara tiga buah negara serumpun iaitu Malaysia, …
Maklumat Lanjut