TERENGGANU TERUS JADI TUMPUAN PELANCONG SEMPENA CUTI SEKOLAH

KUALA TERENGGANU: Terengganu terus menjadi tumpuan pelancong apabila mencatatkan kadar tempahan hotel melebihi 90 peratus sekali gus menjadi antara destinasi pilihan utama sempena cuti sekolah.

Keindahan alam semula jadi, warisan budaya dan keenakan juadah tradisional antara daya penarik pelancong ke negeri Pantai Timur itu, dengan lokasi popular seperti Pasar Payang dan Jambatan Angkat di sini terus dikunjungi orang ramai.

Pengunjung dari Johor Aliya Zulkarnain, 35, berkata menempuh perjalanan jauh kerana mahu membawa keluarga menikmati keindahan pantai serta menikmati juadah popular seperti nasi dagang dan keropok lekor.

“Kami memang merancang bercuti di Terengganu pada cuti sekolah. Walaupun jalan agak sesak tetapi anak-anak teruja melihat pemandangan pantai selain dapat singgah di Pasar Payang untuk membeli cenderamata dan pelbagai jenis keropok,” katanya.

Seorang lagi pelancong dari Kuala Lumpur Mohd Aiman Azmi, 38, berkata memilih Terengganu kerana tertarik dengan keindahan pantai serta mahu menikmati “rasa asli” makanan tradisional negeri itu.

“Ini kali pertama saya membawa keluarga ke sini pada musim cuti sekolah. Memang berbaloi kerana anak-anak seronok melihat Jambatan Angkat manakala isteri gembira membeli-belah di Pasar Payang,” katanya.

Sementara itu, peniaga di Pasar Payang Ani Hussin, 56, berkata kemeriahan jelas terasa sepanjang cuti sekolah kerana lokasi itu menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

“Memang meriah kerana pelanggan bukan sahaja dari pelbagai negeri malah pelancong luar negara yang membeli pelbagai barangan kraftangan. Alhamdulillah, jualan meningkat berbanding hari biasa,” katanya.

Sumber : Bernama

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …