JERANTUT: Seekor gajah jantan yang dikesan berhampiran Klinik Kesihatan Bandar Jerantut di sini, ditangkap, petang tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar, berkata mamalia itu ditangkap selepas ditembak ubat pelali oleh pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) jam 6.55 petang.
Menurutnya, berdasarkan laporan gajah itu dipercayai berusia antara 23 dan 25 tahun dikesan menceroboh kawasan Klinik Kesihatan Bandar Jerantut, kira-kira jam 4 pagi tadi.
“Kehadiran gajah itu disedari pengawal keselamatan dan hasil pemeriksaan terdapat kesan kerosakan pagar dan keretakan di bahagian kaki lima di belakang bangunan klinik terbabit,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Azahari berkata, laporan mengenai kehadiran gajah itu dilaporkan kepada PERHILITAN kira-kira jam 10 pagi tadi.
Menurutnya, hasil pemantauan PERHILITAN mengesan mamalia itu berkeliaran di sekitar kawasan hutan berhampiran klinik kesihatan terbabit dan Pejabat Agama Islam Daerah Jerantut.
“Kira-kira jam 6.55 petang gajah itu ditembak ubat pelali dan ditambat sementara di kawasan belukar di Bukit Kuantan, di sini.
“PERHILITAN akan memindah gajah itu ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temeloh, ” katanya.
PERHILITAN tidak menolak kemungkinan mamalia itu daripada kumpulan gajah yang pernah dikesan di kawasan Hutan Simpan Som, di sini.
SUMBER: BERITA HARIAN



