KERANI AKAUN RUGI HAMPIR RM300,000 TERPEDAYA TAWARAN KERJA SAMBILAN

KUANTAN: Seorang kerani akaun kerugian RM299,646 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran kerja sambilan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan semalam, wanita berusia 52 tahun itu berkenalan dengan seorang suspek melalui aplikasi TikTok pada 1 Ogos lalu.

Katanya, suspek kemudiannya memperdayakan mangsa dengan menawarkan peluang kerja sambilan melalui pautan aplikasi yang seakan sama dengan satu platform jualan borong.

“Selepas itu, mangsa menerima satu pautan laman sesawang daripada suspek dan membuat pendaftaran di laman terbabit.Mangsa seterusnya diarahkan membuat pembayaran terlebih dahulu atas nama tempahan pelanggan kononnya bagi urusan jualan.

“Sebanyak 16 transaksi dilakukan mangsa kepada empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM299,646 yang juga wang simpanan sendiri.

“Namun, selepas itu mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kes itu, Yahaya menasihati masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

Katanya, sebelum melakukan sebarang transaksi, semakan awal boleh dilakukan di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my untuk mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.

“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …