Setakat Jun 2025, seramai 30,491 rakyat Pahang menerima manfaat melalui Skim Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang merangkumi pelbagai kategori bantuan khusus untuk golongan berkeperluan. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan, pemberian bantuan ini berlandaskan syarat kelayakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dengan matlamat membantu penerima meneruskan kehidupan lebih baik dan berkualiti.
Pecahan penerima bantuan adalah seperti berikut: 2,885 penerima Bantuan Kanak-kanak, 6,129 Bantuan Warga Emas, 6,032 Elaun Pekerja OKU (EPOKU), 7,232 Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB), 2,599 Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik Terlantar (BPT), dan 2,614 Bantuan Am.
Dato’ Sabariah menjelaskan bahawa pemberian ini berpaksikan prinsip kerja sosial bagi meningkatkan kefungsian sosial penerima. Waris boleh mengemukakan permohonan kepada JKM dan ia akan disiasat serta dipertimbangkan mengikut kelayakan yang ditetapkan.
Selain bantuan kewangan, JKM turut menyediakan perkhidmatan intervensi kaunseling kepada waris yang mengalami kehilangan ahli keluarga, khususnya dalam kalangan golongan B40 atau kes kematian mengejut. Perkhidmatan ini turut merangkumi kes trauma akibat bunuh diri, kemalangan, atau tragedi bencana.
Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri melalui Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) turut menyalurkan sumbangan bagi pengurusan jenazah. Bantuan ini merangkumi penerima bantuan bulanan MUIP, jenazah tiada waris atau tidak dituntut dalam kalangan umat Islam, serta golongan mualaf. Sumbangan tersebut disalurkan kepada masjid yang menguruskan jenazah dengan kadar sehingga RM2,000.
Secara keseluruhannya, usaha ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu rakyat yang memerlukan, bukan sahaja melalui sokongan kewangan tetapi juga aspek kebajikan, psikologi dan pengurusan komuniti.



