BERMUNAJAT SAMBIL MENYAKSIKAN GERHANA BULAN PENUH

Bandaraya Melaka – Orang ramai berpeluang merasai pengalaman luar biasa apabila dapat menyaksikan gerhana bulan penuh sambil bermunajat sempena Sambutan Maulidur Rasul 2025M/1447H Peringkat Negeri Melaka, di Dataran Pusat Islam, Masjid Al-Azim.

Fenomena alam itu dijadualkan berlaku antara 7 hingga 8 September (Ahad tengah malam) dari jam 12.30 tengah malam hingga 3.30 pagi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, program berkenaan memberi peluang kepada umat Islam untuk menyaksikan sendiri kebesaran, keagungan dan kekuasaan Allah SWT dalam suasana penuh keinsafan.

“Selain solat sunat khas, kita sediakan kubah dan teleskop bagi membolehkan pengunjung melihat sendiri keindahan gerhana bulan penuh.

“Ia bukan sekadar cerapan astronomi, tetapi menjadi detik istimewa menghubungkan kekuasaan Allah dengan penghayatan sirah Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Apa Khabau YB sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H Peringkat Negeri Melaka 2025M di Melakafm, di sini, semalam.

Menurutnya, penganjuran itu dijangka menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, khususnya generasi muda yang teruja untuk menyaksikan fenomena alam sambil menimba pengalaman rohani bersama keluarga dan sahabat.

“Saya yakin ramai yang akan hadir pada program ini nanti, jadi saya menjemput orang ramai supaya hadir dan jangan lepaskan peluang ini,” katanya.

Dalam masa sama, Rahmad turut mengingatkan agar sambutan maulidur Rasul sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan.

“Janganlah sampai wujud acara yang bercanggah dengan akidah, kita mahu pastikan setiap program memberi manfaat dan menguatkan iman, bukannya sebaliknya,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

TARIKH PENTING PELAKSANAAN SISTEM AMARAN AWAL (EWS)

Sistem Amaran Awal (EWS) akan dilaksanakan secara berfasa sebelum beroperasi sepenuhnya. Beberapa peringkat pengujian akan dijalankan bagi memastikan sistem berfungsi …

NADMA PERKASA PROSEDUR OPERASI DAN PENGENDALIAN BENCANA NEGARA

Shah Alam – Pengurusan bencana yang berkesan memerlukan prosedur operasi dan garis panduan yang jelas serta terselaras. Sehubungan itu, Agensi …

Projek Naik Taraf Gerai Tok Lam

Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu (ICU JPM Terengganu) bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terus komited memantau kelancaran projek menaik …