Mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu kebangsaan dan memakai pakaian bertemakan kemerdekaan sememangnya menjadi rutin tahunan apabila menjelang Ogos setiap tahun. Bendera yang dipasang dengan megah di kenderaan atau premis tidak memberikan apa-apa makna sekiranya rakyat melupakan tanggungjawab mereka sepanjang tahun. Patriotisme simbolik ini mencetus ilusi yang mencipta dogma tanpa asas. Ia membolehkan rakyat berasa patriotik tanpa perlu berkorban atau mengubah perilaku mereka. Pengaruh budaya luar dan ketaasuban terhadap gaya hidup barat sering kali menyebabkan rakyat lebih cenderung kepada identiti global berbanding identiti negara. Media sosial pula menjadi medan perdebatan yang kadangkala memperlihatkan sikap sinis terhadap negara sendiri, tanpa disertai usaha untuk membina atau memperbaiki keadaan. Dimanakah penekanan kepada pemikiran secara reflektif dan pemahaman sejarah yang tulus?
Hakikatnya, patriotisme yang sejati jauh lebih mendalam daripada sekadar ritual simbolik yang dilakukan secara rutin. Patriotisme yang sebenar menuntut komitmen yang komprehensif terhadap kemakmuran dan keselamatan negara, bukan hanya pada waktu-waktu tertentu atau ketika emosi nusa sedang bergelora. Meskipun semangat patriotisme dalam kalangan anak watan masih wujud, namun ia perlu diperkasa dan dimaknai semula agar tidak terperangkap dalam ritual kosong. Sedarlah bahawa patriotisme bukan sekadar nostalgia. Patriot tidak akan berdiam diri ketika menyaksikan ketirisan hasil negara dek fiil penyeludupan barang bersubsidi. Patriot akan membancang kemasukan imigran tanpa undangan. Patriot tidak culas membayar cukai. Patriot akan berusaha meningkatkan diri mereka kerana mereka sedar bahawa kemakmuran negara bergantung kepada kualiti rakyatnya. Hatta, semangat patriotisme yang asli tidak hanya mengharapkan negara memberikan yang terbaik, tetapi turut berusaha memberikan yang terbaik kepada negara.
Malaysia adalah negara yang unik dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya. Patriot sebenar menghargai kepelbagaian ini sebagai kekuatan, bukan ancaman. Mereka menolak retorik perkauman dan berusaha membina jambatan antara komuniti yang berbeza. Patriotisme moden menuntut rakyat menjadi kritis, berpengetahuan dan aktif dalam membentuk masa depan negara. Patriotisme moden perlu mengambil kira cabaran-cabaran kontemporari seperti perubahan iklim, keterjaminan makanan, ketidaksamaan ekonomi dan pereputan fabrik sosial yang menjadi neksus kepada risiko dan ancaman kepada negara. Ia perlu berbentuk inklusif dan progresif, bukannya eksklusif dan regresif.
Dalam dunia yang semakin global, patriotisme tidak boleh lagi bersifat insular atau cauvinis. Seorang patriot Malaysia yang sejati akan memahami bahawa tanah air mereka adalah sebahagian daripada komuniti global yang lebih besar. Malaysia memerlukan rakyat yang bukan sahaja bangga menjadi seorang anak watan tetapi juga berani memperjuangkan nilai-nilai melalui komitmen berterusan yang menjadikan negara ini lebih progresif dan selamat untuk semua. Hanya dengan patriotisme yang autentik ini, negara kita boleh mencapai potensi sebenar dan menjadi contoh kepada dunia dan menerima pengiktirafan antarabangsa.
Selamat menyambut bulan kemerdekaan. Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni
“Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama”
Disediakan oleh:
Bakhtiar Effendy Khalid



