Negeri Sembilan diiktiraf sebagai Negeri Paling Progresif di Malaysia 2024 pada majlis The International Business Review (IBR) ASEAN Awards 2025 di Kota Kinabalu, Sabah, Sabtu lalu.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, penganugerahan berprestij itu adalah berdasarkan penilaian terperinci oleh penilai profesional terdiri daripada tokoh ternama dalam pelbagai bidang dari dalam dan luar negara.
Anugerah itu diterima Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Teo Kok Seong, dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Dr Arwan Sabri, sebagai mewakili Kerajaan Negeri Sembilan.
Pencapaian ini membuktikan langkah proaktif pasukan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.Pengiktirafan ini bukan sekadar anugerah, malah sebagai bukti usaha kolektif pentadbiran kerajaan negeri pada semua peringkat yang berteraskan tema ‘Bersih, Muafakat dan Sejahtera’. Ia juga adalah pengiktirafan buat seluruh rakyat Negeri Sembilan yang menjadi pendukung kepada kemajuan dan kesejahteraan negeri ini.
Beliau ingin menyatakan perasaan bangga dan sangat berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam menyediakan dokumentasi kepada panel pakar yang menilai dengan teliti setiap kriteria yang membolehkan Negeri Sembilan terpilih sebagai pemenang anugerah berprestij ini.
Sumber: Berita Harian



