KEPENTINGAN RAKYAT JADI KEUTAMAAN: HAJIJI

UCAPAN: Hajiji semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu, turut kelihatan Musa bersama tetamu kehormat yang lain.

KOTA KINABALU: Kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelbagai kemudahan infrastruktur disediakan bertujuan meningkatkan tahap pembangunan dan kemajuan negeri, termasuklah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Katanya, kemudahan bekalan air, elektrik dan jalan raya, yang menjadi asas keperluan rakyat dan negeri, akan tetap diberikan keutamaan khusus untuk diperbaiki, dinaik taraf dan pertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Justeru, menjadi tugas dan tanggungjawab setiap pegawai kerajaan untuk memainkan peranan masing-masing bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan adalah cekap dan telus serta menggalakkan budaya kerja berprestasi tinggi selaras dengan prinsip rakyat sebagai pelanggan utama dalam sektor awam.

“Dalam zaman yang serba moden dan canggih ini, penyampaian perkhidmatan bukan sahaja perlu pantas tetapi juga harus bersifat responsif, tepat dan inklusif.

“Perkhidmatan awam yang cekap, itulah yang diinginkan rakyat, dan pada masa sama, menjadi asas kepada kejayaan pembangunan negeri,” katanya sempena Majlis Jamuan Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag.

Turut hadir Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M.Yahya, jemaah kabinet negeri dan kenamaan lain.

KENANGAN: Hajiji, Musa serta tetamu kehormat yang lain merakamkan gambar bersama semasa dalam majlis itu.

Sehubungan itu, Hajiji mahu semua pihak daripada barisan kepimpinan negeri sehinggalah kepada anggota perkhidmatan awam agar sentiasa menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas dan jujur, taat dan setia, berdedikasi dan berintegriti.

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan negeri hendaklah digalas dengan sepenuh hati dan dilaksanakan dengan penuh kesempurnaan.

“Matlamat utama kita ialah memastikan negeri ditadbir-urus dengan cekap demi menjayakan proses pembangunan yang lancar sebagaimana yang dikehendaki dan diharapkan oleh kita semua.

“Sesungguhnya, kerajaan negeri tetap bertekad cemerlang dalam membawa kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat, lebih-lebih lagi di bawah naungan dan kebijaksanaan Tuan Yang Terutama Tun, yang menjadi payung kedaulatan, perpaduan dan keharmonian negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji menegaskan bahawa kerajaan negeri komited dalam memastikan pengukuhan dan pemerkasaan budaya integriti, tadbir urus baik dan pencegahan rasuah melalui kerjasama strategik dengan mana-mana badan agensi penguatkuasa.

“Ini termasuklah kerjasama dengan polis, Jabatan Audit Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya percaya nilai integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, bukan sekadar prinsip asas yang kukuh untuk pembangunan negeri secara holistik, tetapi juga adalah tunggak utama dalam menjamin kedaulatan, kemakmuran dan kestabilan negeri,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

KEPENTINGAN RAKYAT JADI KEUTAMAAN: HAJIJI

UCAPAN: Hajiji semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu, turut kelihatan Musa bersama tetamu kehormat yang lain. KOTA KINABALU: Kepentingan rakyat …
Maklumat Lanjut

LELAKI WARGA ASING MILIKI SYABU, BERDEPAN HUKUMAN GANTUNG

TANGKAP: Suspek berserta dadah jenis syabu yang ditemukan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut. LAHAD DATU: Seorang lelaki …
Maklumat Lanjut

RM7.5 JUTA DISALURKAN KEPADA 1,809 USAHAWAN DI SABAH

SERAH: Ewon menyampaikan replika cek semasa dalam majlis itu. PENAMPANG: Sejumlah RM7.5 juta disalurkan kepada 1,809 usahawan di Sabah sejak …
Maklumat Lanjut