RASMI: Christina yang mewakili Ketua Menteri memalu gong sebagai simbolik pelancaran ASEAN Travel Exchange (ATEX 2025) hari ini.
KOTA KINABALU: Industri pelancongan di negeri ini kekal sebagai pemacu ekonomi Sabah dengan mewujudkan lebih daripada 380,000 peluang pekerjaan merentasi pelbagai sektor.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, industri pelancongan Sabah menyumbang kira-kira 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun lalu.
Katanya, ia turut mencatat pencapaian signifikan pada 2023 apabila menyumbang sebanyak RM13.1 bilion kepada ekonomi negeri.
“Namun, statistik semata-mata tidak menceritakan keseluruhan cerita. Di sebalik setiap angka, terletak kehidupan, keluarga, dan individu yang menyumbang kepada ekonomi pelancongan.
“Kita menyaksikan sendiri bagaimana pelancongan dapat memperkasa komuniti, dan kita berbangga dengan kemajuan pelancongan berasaskan komuniti di Sabah,” katanya semasa pelancaran ASEAN Travel Exchange (ATEX 2025) di sini hari ini.
Ucapan Hajiji disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew.
Beliau berkata, Sabah adalah tempat kepada ramai pengusaha pelancongan berasaskan komuniti, yang digerakkan oleh individu serta keluarga dari kampung, terutamanya komuniti luar bandar, yang mencipta pengalaman unik yang benar-benar menggambarkan keistimewaan berciri Sabah.
“Setakat ini, pelancongan berasaskan komuniti terus berkembang di Sabah disebabkan potensinya yang besar dalam merangsang ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar.
“Pada 2024, jumlah sumbangan hasil negeri daripada sektor ini mencecah RM7 juta yang datang dari 18 daerah aktif. Lebih banyak inisiatif berasaskan komuniti di daerah luar bandar sedang diperkenalkan bagi memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri turut kekal komited terhadap pembangunan industri pelancongan.
“Kita sedang melabur dalam infrastruktur melalui kerja penaiktarafan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) yang sedang berjalan, penambahbaikan jalan raya yang menghubungkan kawasan pelancongan luar bandar serta platform digital yang dipertingkatkan untuk mempromosi dan mengurus pengalaman pelawat secara efektif.
“Sabah juga sedang membina asas kepada ekonomi pelancongan yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan. Strategi Sabah termasuklah penerapan prinsip ekonomi hijau, pendigitalan, serta memperkukuh profil kita sebagai lokasi dan tuan rumah utama bagi acara pelancongan antarabangsa,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah berhasrat menjadi model bagaimana pelancongan boleh berjaya sambil memelihara elemen-elemen yang menjadikannya unik merangkumi alam sekitar, budaya dan komuniti.
Beliau berkata, ATEX 2025 adalah pencapaian penting bagi Sabah kerana ia memberikan peluang kepada negeri ini bukan sahaja sebagai destinasi, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam membentuk masa depan pelancongan ASEAN.
“Kita mengalu-alukan para pemimpin industri dari seluruh rantau ke negeri ini, untuk mengeratkan hubungan, mencetuskan peluang perniagaan baharu dan berkongsi untuk masa depan,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online