RASMI: Hajiji bersama jemputan lain menyempurnakan gimik pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2025.
KIULU: Sektor pelancongan di Sabah terus mencatat pencapaian memberangsangkan dengan sumbangan ketara daripada Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT), terutamanya di kawasan pedalaman negeri ini, seperti Kiulu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pelancongan merupakan antara teras penting dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dan Kiulu muncul sebagai salah satu perintis utama dalam pembangunan CoBT.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan hasil negeri daripada CoBT meningkat kepada RM7 juta pada 2024, berbanding RM6.7 juta pada 2023 daripada 18 daerah aktif.
“Saya mahu CoBT dibangunkan secara aktif kerana potensinya dalam mengembangkan dan menjana ekonomi di kawasan pedalaman negeri ini,” katanya pada perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2025 di sini, pada Selasa.
Hajiji berkata, Sabah menerima seramai 923,709 pelancong pada suku pertama 2025, iaitu sekitar 26 peratus daripada sasaran keseluruhan 3.5 juta pelawat tahun ini.
TINJAU: Hajiji melawat pameran jualan dan walai moginakan pada majlis itu.
“Saya yakin sasaran ini bukan sahaja mampu dicapai, tetapi juga berpotensi untuk melebihi sasaran seperti prestasi pada 2024 dengan kehadiran 3.2 juta pelawat berbanding sasaran awal seramai 3 juta pelancong,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya kemudahan infrastruktur luar bandar dipertingkatkan sebagai asas untuk menyokong pertumbuhan pelancongan dan pertanian.
Katanya, infrastruktur yang baik bukan sahaja memberi keselesaan kepada rakyat tempatan, malah menjadi tarikan utama kepada pelancong asing dan domestik.
Hajiji menyeru rakyat agar terus menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh pembangunan negeri, khususnya dalam sektor pelancongan yang menjadi pemangkin utama kepada ekonomi Sabah.
“Kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kita. Pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan penting bagi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan negeri ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada empat persatuan CoBT di negeri ini yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat universiti serta satu persatuan pelancongan dari Taiwan, termasuk Persatuan Pelancongan Kiulu.
Katanya, tiga lagi CoBT ialah Persatuan Pelancongan Tambunan, Persatuan Pengusaha Kopi Sabah dan Persatuan Komuniti Wanita Kampung Tambatuon, Kadamaian Kota Belud.
Menurutnya, kolaborasi ini dijangka membawa manfaat besar dalam pemindahan ilmu dan pemerkasaan komuniti pelancongan setempat.
“Daerah Kecil Kiulu seharusnya memanfaatkan sepenuhnya potensinya dalam pelancongan dan pertanian sebagai pemangkin ekonomi kerana daerah ini mempunyai antara pengendali CoBT di negeri ini,” katanya.
Hajiji berkata, Persidangan Pelancongan Berasaskan Komuniti akan dianjurkan buat pertama kali oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah pada bulan Jun ini di Kota Kinabalu, sebagai satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh sektor pelancongan Sabah.
Hajiji turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1.1 juta untuk melaksanakan beberapa projek pembangunan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu.
TAHNIAH: Hajiji menyampaikan Anugerah Tokoh Padi Bukit kepada Tousin Sumin dari Kampung Sinangsag Kiulu pada majlis itu.
Antaranya pembinaan tempat letak kereta Pekan Kiulu, pembinaan jalan raya ke Kampung Kitapol dan projek bekalan air graviti Kampung Lopot.
“Kiulu mesti dibangunkan dan aspirasi rakyat yang mahukan pembangunan berterusan dan kesejahteraan mereka mesti kita bela dan bantu,” katanya.
Hajiji turut mengisytiharkan Dewan Masyarakat Kiulu kini dinamakan sebagai Dewan Masyarakat OKK Rampas.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online