BUBUR LAMBUK ‘AIR TANGAN’ TUNKU AZIZAH JADI KEGEMARAN RAMAI

KUANTAN: Setiap kali menjelang Ramadan, ‘air tangan’ Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam menyediakan juadah istimewa resipi asli bubur lambuk Istana Pahang pastinya menjadi tumpuan, bukan sahaja rakyat negeri ini tetapi juga penghuni penjara.

Meneruskan tradisi itu bagi tahun ini, baginda berkenan berangkat ke Penjara Penor, di sini, semalam bagi memasak resipi istimewa itu di perkarangan Bengkel Tenun Diraja Pahang, yang tentunya menjadi detik bermakna bagi penghuni di sebalik tirai besi tersebut.

Dengan dibantu kira-kira 50 penghuni penjara yang bergotong-royong seawal 7.30 pagi bagi menyediakan resipi istimewa itu, menurut hantaran yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang, kira-kira 2,000 bekas bubur lambuk berjaya disiapkan untuk diagihkan sebagai juadah berbuka puasa.

“Selepas siap memasak pada jam 1 tengah hari, baginda sendiri mengagihkan bubur lambuk kepada sebahagian banduan dengan dibantu oleh Tengku Puteri Raja, Puteri IIisha Ameera Al-Sultan Abdullah R”ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Untuk rekod, Program Memasak Bubur Lambuk Tengku Ampuan Pahang Bersama Prospek Penjara ini bermula pada 2023 dan membabitkan Penjara Penor, Penjara Bentong dan Penjara Marang di Terengganu,” menurut hantaran tersebut.

Biarpun penyediaan juadah istimewa itu baru tiga kali dilakukan untuk penghuni tirai besi, bagi rakyat Pahang, ia sudah menjadi tradisi buat Tunku Azizah setiap kali menjelang Ramadan, bahkan sebelum baginda ditabalkan sebagai Raja Permaisuri Agong ke-16.

Difahamkan, ‘air tangan’ Tengku Ampuan Pahang dalam menyediakan bubur lambuk Istana Pahang begitu istimewa dan menjadi kegemaran ramai setiap kali ia dimasak di luar istana kerana menggunakan pelbagai bahan segar di samping memiliki kandungan protein yang tinggi.

Keunikannya terletak pada penggunaan pelbagai sayuran seperti pucuk paku merah, selain turut menggunakan ikan tenggiri, udang, sotong, dan ayam sebagai ramuan utama.

Maka, tidak hairanlah bahawa gabungan ‘air tangan’ Tunku Azizah dan resipi istimewa Istana Pahang ini sentiasa menjadi penantian setiap kali Ramadan.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut