JALAN TERPUTUS HUBUNGAN AKIBAT BANJIR DAN CERUN RUNTUH DI SABAH

Jalan Keningau-Kimanis di kawasan Taman Banjaran Crocker tidak boleh dilalui akibat kejadian cerun runtuh di KM 11.2. – Gambar Facebook Jabatan Kerja Raya Sabah

KOTA KINABALU: Beberapa jalan di daerah Beaufort, Tenom, dan Keningau terputus hubungan hari ini akibat banjir serta cerun runtuh berikutan hujan lebat berterusan yang melanda kawasan tersebut sejak beberapa hari lalu.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan bahawa Jalan Keningau-Kimanis di kawasan Taman Banjaran Crocker tidak boleh dilalui akibat kejadian cerun runtuh di Kilometer (KM) 11.2.

Ini merupakan runtuhan kedua di laluan itu selepas kejadian di KM 151.95/142.25 semalam, di mana kerja-kerja pembersihan masih dijalankan.

“Pengguna jalan raya yang ingin ke Keningau dari arah Kota Kinabalu dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom,” menurut kenyataan tersebut.

Jalan Keningau-Kimanis juga ditutup sepenuhnya sejak 4 Mac demi keselamatan pengguna kerana kejadian tanah runtuh masih berlaku di laluan berkenaan dan kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan hari ini.

Jalan Mesej Kelanyaan di KM 0.5 ditutup sepenuhnya selepas paras air sungai naik melebihi permukaan jalan. – Gambar Facebook Jabatan Kerja Raya Sabah

Di daerah Tenom pula, Jalan Mesej Kelanyaan di KM 0.5 ditutup sepenuhnya selepas paras air sungai naik melebihi permukaan jalan dan buat masa ini tiada laluan alternatif yang boleh digunakan.

Sementara itu, tiga jalan di daerah Beaufort turut terjejas teruk akibat banjir, iaitu Jalan Pimping di KM 3.562, Jalan Lumatai di KM 0.241, dan Jalan Pak Musa dari KM 0 hingga 0.350.

“JKR telah mengambil tindakan awal dengan memasang papan tanda amaran (TMP) di lokasi-lokasi terjejas serta menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang masih boleh diakses,” menurut kenyataan itu.

Md Razali Sipaun, 52, seorang pembantu tadbir dari Keningau, berkata beliau pada awalnya pulang ke kampung untuk menghadiri kenduri di Keningau, namun tidak dapat kembali bertugas di Kota Kinabalu berikutan penutupan Jalan Keningau-Kimanis.

“Memang ada jalan alternatif tetapi terlalu jauh dan berisiko tinggi dalam cuaca begini. Ada juga kawasan yang hanya boleh dilalui satu lorong kerana tebing runtuh. Jadi, langkah terbaik buat masa ini, saya terpaksa mengambil cuti kecemasan akibat bencana,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Beliau kesal kerana ada pengguna jalan raya yang bertindak mengalihkan penghadang jalan di laluan yang telah ditutup serta berkeras untuk tetap melaluinya, seperti yang tular di media sosial. Katanya, tindakan sedemikian hanya mengundang bahaya kepada mereka sendiri.

Seorang peniaga kedai runcit, Juidah Ontok dari Sipitang, berkata beliau menghadapi kesukaran untuk ke Beaufort bagi mengambil barangan daripada pengedarnya kerana beberapa jalan di daerah itu ditenggelami air.

“Setakat ini, stok barangan biasa masih ada, tetapi saya tetap risau kerana jalan ke Kota Kinabalu juga terjejas akibat banjir dan tanah runtuh. Jika hujan berterusan, saya bimbang bekalan akan berkurangan, sekali gus menyukarkan penduduk untuk mendapatkan keperluan harian,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …