SEMBILAN NELAYAN ASING CEROBOH PERAIRAN NEGARA DIUSIR PULANG

TANGKAP: Semua nelayan warga asing yang ditahan dihantar pulang ke negara asal.

TAWAU: Sembilan nelayan warga asing diusir pulang selepas didapati menceroboh perairan negara di kedudukan antara 2.5 hingga 5.6 batu nautika utara Burst Point, di sini, Ahad lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menjalankan Op Pluto Timur mengesan tiga buah bot di perairan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata pihaknya terus bertindak menahan ketiga-tiga bot berkenaan untuk pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat sembilan lelaki warga Indonesia berusia 28 hingga 52 tahun di dalam bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua nelayan asing terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua warga asing terbabit bersama tiga buah bot dan enjin serta hasil tangkapan yang dianggarkan bernilai RM20,000 dirampas,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, semua tangkapan terbabit telah diserahkan kepada Konsulat Republik Indonesia bagi proses pengusiran.

“Ia berikutan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Republik Indonesia dan Malaysia, berkaitan garis panduan perlakuan terhadap nelayan oleh agensi penguatkuasaan maritim kedua-dua negara yang ditandatangani pada 27 Januari 2012.

“Selepas proses dokumentasi selesai, ketiga-tiga bot berkenaan telah diiring ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia untuk dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

Shahrizan berkata, Maritim Malaysia menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pencerobohan dan aktiviti haram di Zon Maritim Malaysia, khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah maritim atau kecemasan di sekitar perairan Tawau boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah 

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …