PEMERKASAAN PENDIDIKAN TINGGI PENGGERAK KRITIKAL PACU KEMAJUAN NASIONAL

Kesejahteraan sosial terutama menerusi reformasi strategik Belanjawan 2025 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober lalu menjadi kayu ukur utama dalam percaturan pembangunan mampan dan kemajuan nasional. Pembelajaran sepanjang hayat dan kapasiti infrastruktur serta modal insan pula menjadi tunjang dalam pencapaian objektif ini. Ia diperkuatkan lagi dengan suntikan RM18 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pembangunan kapasiti modal insan dan pencapaian dalam sektor kritikal tidak boleh diketepikan terutama teknologi, digital, keterjaminan sumber dan rantaian bekalan serta kemajuan bidang tujahan baharu termasuk kepintaran buatan (AI), ekonomi digital, sumber tenaga baharu dan hijau dan mineral. Oleh itu, peruntukan kepada penyelidikan baharu, bidang saintifik kritikal dan sektor pendidikan tinggi adalah penting dalam menyediakan impak pelbagai penjuru kepada pelbagai sektor kritikal dalam negara, pada masa sama menyediakan penyelesaian kemelut sistemik.

Ini akan menutup jurang geografi, demografi, ekonomi, sosial, budaya, pendapatan dan pembangunan yang menjadi halangan kepada usaha menjadi negara maju seimbang dengan konsep kemakmuran, kemajuan dan negara berpendapatan tinggi, selaras dengan konsep MADANI dan pertumbuhan seimbang masa depan.

Kedatangan cabaran baharu dan perubahan pesat dalam arena geopolitik, keselamatan dan teknologi akan menuntut agenda reformasi baharu berani serta transformasi dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan Cabaran dan impak langsung ancaman konvensional serta bukan konvensional akibat peningkatan konflik keselamatan dan ketegangan antarabangsa sehingga kepada kesan perubahan iklim memerlukan universiti berani dalam perubahan struktur dan sistemik untuk memenuhi keperluan masa depan, bertindak sebagai pemacu pembinaan negara dan kemajuan tamadun.

Tumpuan utama harus diberikan kepada strategi dua hala iaitu membangunkan modal insan bertaraf dunia dan holistik serta hasil penyelidikan kukuh serta berdaya tahan. Ia menjadi asas utama peralihan negara ke arah negara berpendapatan tinggi diperkukuh dengan asas ekonomi dan teknologi bertaraf global untuk mencapai status negara maju bahkan sebagai kuasa tengah semakin berkembang. Bagi mencapai matlamat dua hala ini, pelaburan yang betul mesti dibuat dalam bidang teknologi dan sokongan infrastruktur dalam sistem pengajaran serta pembelajaran.

Ekosistem penyelidikan harus menjadi pemudah dalam menyediakan pelajar, penyelidik dan ahli akademik dengan aset nyata komprehensif terkini diperlukan dalam penyelidikan baharu, penciptaan pengetahuan dan keupayaan penyerapan pengetahuan. Langkah seterusnya adalah melabur mendapatkan modal insan terbaik untuk membangunkan bakat tempatan dan melahirkan generasi baharu berpendidikan. Pelaburan dalam keupayaan fizikal dan keupayaan insani mesti dilakukan secara serentak bagi menyemarakkan sistem sokongan komprehensif dalam reformasi sistem pendidikan tinggi.

Jurang utama yang masih wujud ialah ekosistem standard dan kualiti keseluruhan dalam penyelidikan serta domain akademik tidak sepenuhnya menangani permintaan serta keperluan semasa. Kelemahan struktur ini disebabkan jurang semakin melebar dalam tahap standard dan kualiti kedua-dua sokongan teknologi serta modal insan. Oleh itu, negara perlu menangani kekurangan pembiayaan dalam bidang pertumbuhan geostrategik kritikal jangka panjang, infrastruktur dan modal insan.

Bidang kemajuan digital dan kecerdasan buatan (AI) akan kekal sebagai salah satu bidang kritikal paling penting dan memberi pulangan strategik kepada negara dalam usaha mencapai transformasi teknologi dan ekonomi. Pendekatan holistik dan pendekatan atas ke bawah di universiti adalah perlu dan strategik dalam konteks tertentu, mesti dirancang dengan teliti untuk memastikan keseragaman dan kesepaduan di peringkat akar umbi.

Pelan komprehensif diperlukan untuk memastikan institusi utama di negara ini menerima sistem sokongan dari atas ke bawah dalam membangunkan pertumbuhan AI bagi melengkapkan rancangan pertumbuhan lain dalam bidang digital. Penting untuk memastikan tiada pertindihan dan pembaziran dalam sumber pembiayaan dan trajektori masa depan untuk memberi pulangan terbaik kepada negara. Perkongsian pintar melalui sinergi dan kerjasama awam-swasta juga cara terbaik memastikan kos dikurangkan, kepakaran digalakkan, serta kecekapan dimaksimumkan. AI kekal sebagai teras utama usaha ini dan sokongan pembiayaan tertumpu dengan hasil jelas dan impak nyata mesti dimulakan untuk membina ekosistem pembangunan AI jangka panjang bagi keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi dan bidang berkaitan.

Pelbagai inisiatif termasuk Pelan Induk Perindustrian Negara (PIPN) 2030, Strategi Semikonduktor Negara dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan sifar karbon bersih menjelang 2050, semuanya memerlukan penggunaan AI.

Demi negara terus maju, ia memerlukan kemajuan selari dan sama rata daripada semua sektor untuk berkembang secara seiring, dan pendidikan tinggi menyediakan asas utama bagi semua alat ekonomi, keselamatan, saintifik serta kebudayaan dan agama yang kuat untuk berkembang. Strategi dan dasar dirancang sekarang akan menentukan kadar dan kedalaman daya saing ekonomi negara. Ia mesti dilakukan dengan perancangan dan perkiraan teliti serta berpandangan jauh di peringkat pusat bagi memastikan kesepaduan serta ketangkasan industri dalam menyesuaikan diri dengan perubahan dan cabaran masa depan.

Artikel/Berita Terkini

MELAKA BAKAL JADI HAB TEKNOLOGI JERMAN DI ASIA TENGGARA – AB RAUF

Ayer Keroh – Melaka bersedia menjadi pusat pemindahan teknologi Jerman bagi rantau Asia Tenggara menerusi pembangunan Taman Teknologi Jerman (GTP) …
Maklumat Lanjut

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut