OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamatkan mangsa.
KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 19 tahun berdepan detik cemas selepas terperangkap di luar koridor tingkat enam sebuah apartment di Jalan UMS, Sepanggar, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata, mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan hasil bantuan sepasukan bomba.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.15 malam.
“Sepasukan anggota bomba bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 17 kilometer dari balai bomba.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati seorang mangsa wanita terperangkap di antara koridor di luar beranda rumah di tingkat enam.
“Pasukan bomba dengan lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) menggunakan tali dan juga harness pada penyelamat dan juga pada mangsa untuk dibawa turun pada tingkat yang sama,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum berjaya menyelamatkan mangsa.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Selepas mangsa berjaya diselamatkan dan dipastikan tiada kecederaan, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba juga melakukan pemantauan susulan bagi memastikan lokasi kejadian benar-benar selamat sebelum menamatkan operasi,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online