SULTAN PAHANG TITAH AGENSI BERKAITAN LEBIH KERAP KEMAS KINI DATA RAMALAN CUACA, BANJIR

RAUB: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah agar Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) serta pihak berkuasa terbabit lebih kerap mengemas kini data ramalan cuaca dan kejadian banjir di negara ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, maklumat terkini itu amat penting kepada rakyat, terutama mereka yang tinggal di lokasi berisiko dilanda bencana berkenaan.

“Saya ingin mengingatkan, berdasarkan laporan kaji cuaca, kita dijangka menghadapi cuaca tidak menentu pada pertengahan dan hujung bulan ini.

“Ini bermakna air pasang laut akan meningkat dan kalau hujan turun lebih lebat, akan menyebabkan (berlakunya) limpahan air sungai (dan) kampung di tepi sungai akan terkena banjir.

“Kita minta data yang tepat daripada pihak Meteorologi Malaysia dan agensi terbabit perlu mengumumkannya secara rasmi lebih kerap sedikit, diharap juga semua rakyat dengar laporan yang sah,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Lechar, di sini, hari ini.

Turut berangkat ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Al-Sultan Abdullah bertitah, penduduk di kawasan rendah perlu lebih bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan dalam keadaan cuaca tidak menentu kini, bagi mengelak berlakunya tragedi tidak diingini termasuk kehilangan nyawa.

Baginda turut bertitah agar ibu bapa dan ahli keluarga mengawasi anak masing-masing dan tidak membiarkan mereka bermain berhampiran sungai, longkang mahupun parit.

“Apabila dapat arahan daripada pegawai atau pasukan keselamatan untuk berpindah, harap mereka dapat berpindah secepat mungkin untuk selamatkan diri dan keluarga dahulu. Saya ingin menasihatkan perkara ini, supaya tidak berlaku kehilangan nyawa pada musim tengkujuh ini,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah pada masa sama turut mendoakan kejayaan cemerlang kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), termasuk mangsa banjir yang akan menduduki peperiksaan itu, bermula esok.

Pahang menjadi negeri terbaru dilanda banjir apabila 26 PPS dibuka di daerah Raub, Jerantut dan Lipis bagi menempatkan seramai 1,217 mangsa daripada 416 keluarga.

SUMBER: BH

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …