PASUKAN HOKI SSN PREDATOR BAWA NAMA MELAKA DI AUSTRALIA

Duyong – Atlet hoki remaja SSN Predator bakal membawa nama Melaka pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Remaja Gryphon Cup 2024 di Perth, Australia, 21 hingga 26 November ini.

Pasukan itu dibarisi 20 atlet remaja Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kelayakan itu sekali gus mempamerkan kecemerlangan sektor sukan di Melaka setanding negeri lain khususnya dalam sukan hoki.

“Sesi penyerahan bendera Melaka ini bukan sahaja menterjemahkan sehelai kain yang terbang di angkasa, malah merupakan simbol semangat yang mengiringi perjuangan pasukan Hoki SSN Predator.

“Bendera ini menjadi bukti kebersamaan, kesatuan dan semangat kesukanan di samping menjadi pembakar semangat kepada pasukan Hoki SSN Predator dalam mengharumkan nama Melaka di persada antarabangsa.

“Kita juga menyaksikan sesi penyerahan jersi rasmi yang ditaja oleh Lets Play Perfomance, HYBA Quest Malaysia kepada atlet-atlet terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan Majlis Perasmian Penyerahan Bendera dan Penajaan Jersi kepada Pasukan Hoki SSN Predator, SMK Seri Kota di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah.

Hadir sama Pengetua Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Seri Kota, Abdul Ghaffar Bakar.

Menurut Ketua Menteri, dengan penajaan jersi rasmi itu ia diharap akan menjadi pemangkin semangat kepada pasukan hoki tersebut untuk memburu kejayaan sekali gus memperkasa sukan hoki di negeri ini.

“Saya dan seluruh rakyat Melaka menaruh harapan tinggi kepada 20 atlet Hoki SSN Predator ini untuk mempamerkan aksi cemerlang sekali gus menjulang kemenangan membanggakan.

“Kejayaan sesebuah pasukan itu tidak akan dapat dicapai tanpa usaha, motivasi dan kesungguhan,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …