KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti kira-kira 208,000 keldai akaun di negara ini, berdasarkan semakan rekod dibuat pihak berkuasa itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata sebahagian daripada jumlah keldai akaun itu adalah milik pelajar.
Beliau berkata, pelajar adalah golongan paling terdedah menjadi keldai akaun kerana mereka selalunya mempunyai tiga hingga empat akaun.
“Sehubungan itu kita meminta supaya pelajar jangan mengambil mudah, akaun ini macam kad pengenalan…ia bukan boleh dipindah-pindah atau dipinjamkan kepada orang.
“Ini kerana ia boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan…ada orang kata saya nak bayar sewa rumah, nak pinjam akaun kejab, sebab akaun saya tidak boleh pakai, pelbagai alasan digunakan.
“Justeru, pelajar perlu sentiasa ada perasaan skeptikal atau cuak bahawa akaun kita boleh digunakan untuk tujuan penipuan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, Ramli menjadi penceramah dalam ‘Board Of Directors Workshop’ anjuran Media Prima Berhad (Media Prima) bersama Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datin Azalima Adham.
Turut menyertai sesi itu ialah Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali; Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Farrah Naz Karim dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), M Thillinadan.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan berkata, polis mengesan kes membabitkan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) memberi kebenaran kepada sindiket penipuan dalam talian menggunakan akaun bank mereka.
Pada masa sama, Ramli berkata pelajar harus lebih berhati-hati walaupun mereka diketahui adalah golongan yang amat memerlukan wang.
“Mereka ini adalah golongan rentan, maklumlah hendak pakai duit dan terpedaya apabila diumpan RM500 atau RM1,000 mereka mudah terpengaruh dan terpedaya.
Dalam perkembangan sama, Ramli berkata, pihaknya yakin penipuan wang dalam talian boleh disekat di peringkat pertama, selepas penguatkuasaan pindaan Kanun Keseksaan (Akta 574) yang sudah diluluskan di Dewan Rakyat, bulan lalu.
Beliau berkata, penipuan wang dalam talian kebiasannya membabitkan banyak lapisan pemindahan dari akaun berbeza.
Katanya, jika mangsa menghubungi talian 997, mereka masih mempunyai peluang untuk menyekat wang itu daripada dipindahkan ke beberapa akaun berbeza.
“Ada proses dan prosedur duit itu tidak dipindahkan kerana (penipuan wang dalam talian) membabitkan beberapa lapisan akaun.
“Malah ada yang mencecah hingga 10 lapisan akaun…untuk mendapatkan wang itu semula, kita harap ia boleh dilakukan dengan undang-undang baharu yang boleh menyekat pindahan wang itu di peringkat pertama lagi,” katanya.
Talian 997 adalah kerjasama antara agensi yang membabitkan PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ia dikenali sebagai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang diwujudkan sebagai pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian.
Sementara itu, Ramli berkata, media diminta meningkatkan peranan dalam menyebarluaskan berhubung modus operandi digunakan penjenayah siber untuk menjerat masyarakat.
Beliau berkata, ini kerana pihaknya mendapati lebih 80 peratus aduan polis dibuat oleh orang ramai adalah membabitkan jenayah penipuan.
“Berdasarkan teori, daripada 500,000 individu yang didekati dalam kempen kesedaran, hanya kira-kira 100,000 yang peka terhadap jenayah siber terbabit.
“Sementara 400,000 lagi masih terdedah masih terdedah dengan dan memerlukan usaha berterusan khususnya dalam penipuan melalui telefon yang kini menjadi trend,” katanya.
Beliau berkata, dengan penyebaran secara meluas oleh pihak media, ia diharap dapat menimbulkan kesedaran bagi menyelamatkan golongan paling terdedah khususnya warga emas yang mungkin terpedaya dan takut dengan ugutan penjenayah siber.
Katanya, polis menjangkakan jumlah kerugian akibat jenayah penipuan siber yang kini direkodkan sebanyak RM753.5 juta sepanjang enam bulan pertama tahun ini, berisiko terus meningkat.
Berdasarkan statistik PDRM dari Januari hingga Jun lalu, penipuan telekomunikasi merekodkan jumlah kerugian sebanyak RM197.2 juta; e-kewangan (RM30 juta); love scam (RM128.8 juta); penipuan e-perdagangan (RM32.5 juta), penipuan pinjaman (RN19.4 juta) dan penipuan pelaburan (RM345.6 juta).
SUMBER: BH



