ALOR GAJAH: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam memperuntukkan RM10 juta untuk membantu penduduk yang terkesan dengan gangguan hidupan liar sehingga menjejaskan tanaman serta harta benda.
Peruntukan itu disalurkan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebagai inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) akibat serangan hidupan liar termasuk gajah.
Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abd Kadir Abu Hashim, berkata sejak inisiatif itu diperkenalkan awal tahun ini, pihaknya menerima 95 aduan mengenai gangguan serta kerosakan berpunca hidupan liar.
Daripada jumlah itu, PERHILITAN membelanjakan RM343,000 sebagai bantuan tunai kepada mangsa terbabit.
“Bantuan bertujuan membantu mangsa yang mengalami banyak kerugian akibat gangguan hidupan liar termasuk gajah dan bagi saya ia inisiatif terbaik dilaksanakan kerajaan untuk golongan berkenaan,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Gajah Sedunia di A’ Famosa Outlet di sini hari ini.
Abd Kadir berkata, berdasarkan rekod untuk tempoh lima tahun sejak 2019, sebanyak 3,929 aduan mengenai konflik manusia dan gajah diterima Jabatan PERHILITAN.
Katanya, untuk tempoh enam bulan tahun ini sahaja, sebanyak 60 operasi dilaksanakan pihaknya membabitkan gangguan haiwan liar di seluruh negara.
“Serentak itu, pelbagai usaha dilaksanakan PERHILITAN bagi menangani konflik manusia dan gajah termasuk menubuhkan pusat konservasi gajah di Pahang, Terengganu dan Johor selain menjalankan program pemantauan pergerakan kumpulan gajah secara pemasangan kolar satelit.
“Kami juga membantu pemilik kebun atau penduduk membangunkan Sistem Pagar Eletrik Gajah (SPEG), memasang papan tanda amaran bagi mengurangkan risiko berlakunya ‘roads kill’ (kematian akibat dilanggar ketika melintas jalan raya) dan menjalankan program kesedaran awam,” katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN



