USAHA BANTERAS MASALAH DADAH PERLU SOKONGAN SEMUA PIHAK

PENGHARGAAN: Saripudin (tiga kiri) mewakili Suryady menerima cendera kenangan daripada penganjur.

TAWAU: Kewujudan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai badan peneraju dalam membanteras penyalahgunaan dadah perlu disokong oleh semua pihak di daerah ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, AADK tidak boleh dibiarkan bertindak sendirian dalam menangani masalah ini.

Katanya, masalah dadah ini bukan sahaja memberi ancaman kepada sosial tetapi terangkum di dalamnya ancaman kepada keselamatan negara.

“Selain itu, ia juga menyumbang kepada masalah kesihatan mental kepada penggunanya dan melemahkan masyarakat sejagat.

“Justeru, usaha membendung masalah ini tidak boleh diserahkan kepada kerajaan sahaja, sebaliknya perlu sokongan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat khususnya ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutupan Program Seminar Kesedaran Keibubapaan (Pencegahan Dadah) peringkat daerah Tawau. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim.

Suryady yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah merangka kerja untuk pencegahan dan pembanterasan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

“Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) yang wujud di sekolah-sekolah adalah usaha murni kementerian bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah akan bahaya dadah.

“Kewujudan lorong PPDa, sudut PPDa, ikon PPDa untuk guru dan pelajar dilihat dapat memberikan kesedaran tentang keburukan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Namun, Suryady berkata, PPDa dan usaha AADK tidak akan berjaya sekiranya masyarakat khususnya ibu bapa tidak ambil peduli atau prihatin akan masalah ancaman dadah ini.

“Ketahuilah, ratusan juta ringgit telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk menangani masalah dadah termasuklah kos rawatan pemulihan dan program pencegahan di negara ini.

“Bayangkan jika peruntukan itu digunakan untuk pembangunan pendidikan atau menaik taraf bangunan sekolah yang diperlukan sekarang ini, sudah pasti ia memberi banyak manfaat,” katanya.

Sementara itu, Suryady mengucapkan tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah Tawau atas usaha melaksanakan program ini.

“Saya berharap dengan usaha sebegini dapat membanteras penyalahgunaan dadah terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah di daerah ini,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#KeselematanNegaraTanggungjawabBersama
#MknSabah
#BKN2024

 

 

Sumber: Utusan Borneo Sabah

 

 

 

Artikel/Berita Terkini

111 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPS SAPU DI TIGA DAERAH

TAHAN: Antara PATI Yang Ditahan Dalam Operasi Ini. KOTA KINABALU: Seramai 111 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah …

AADK TUBUH UNIT DRON PERKUKUH PEMANTAUAN KAWASAN PANAS DADAH

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menubuhkan Unit Dron bagi memperkukuh pemantauan dan meningkatkan keupayaan penguatkuasaan, khususnya di kawasan panas penyalahgunaan dadah …

THANUSAA CIPTA KEJUTAN, SUMBANG EMAS UNTUK MELAKA

Ayer Keroh – Melaka terus menambah kutipan pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor apabila atlet skuasy wanita, U Thanusaa …