Suasana politik di Malaysia ketika ini membangkitkan persoalan penting iaitu apakah perbezaan antara proses bina negara dan bina bangsa. Membina negara merujuk kepada proses pembentukan dan pengembangan struktur politik, perundangan dan pentadbiran sebuah entiti politik.
Sebaliknya, membina negara bangsa membabitkan usaha mendirikan kesatuan identiti bangsa serta perpaduan antara pelbagai kaum, etnik, agama dan budaya. Dua proses ini membabitkan matlamat, pendekatan dan kepentingan berbeza walaupun terdapat persamaan dalam proses mencapainya.
Pelbagai isu agama, perkauman dan budaya berlaku kebelakangan ini memperlihatkan negara kita masih lagi bergelut dalam proses membina negara bangsa walaupun selepas 67 tahun merdeka.
Dalam kemelut Malaysia mencari titik temu antara dua proses ini, muncul Malaysia MADANI dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebuah kerangka bukan sahaja membina negara tetapi menyediakan kerangka kukuh bagi proses membina negara bangsa.
MADANI memberi penekanan pada kesetaraan akses terhadap sumber daya dan peluang memastikan pembangunan inklusif serta meningkatkan kesejahteraan seluruh masyarakat. Dalam isu semasa seperti ketidaksamaan ekonomi semakin melebar, MADANI boleh menjadi kerangka membantu merapatkan jurang ini melalui dasar lebih adil dan saksama.
Namun begitu, kerangka cantik, kelihatan komprehensif tidak semestinya menjamin pelaksanaan dinamik. Maka, penting untuk dipastikan kerangka MADANI tidak menjadi sekadar slogan politik, sebaliknya harus digunakan untuk pembangunan masyarakat dan negara, bukan untuk kepentingan politik atau peribadi.
Kerangka MADANI mempunyai potensi besar bagi menemukan titik proses membina negara dan bangsa Malaysia. Namun, mungkin terdapat tiga aspek menyebabkan konflik menemui titik ini boleh berlaku.
Pertama, pertembungan kepentingan politik dan perpaduan sosial. Proses membina negara membabitkan dan pengembangan struktur politik, perundangan dan pentadbiran. Ini kadang-kadang memerlukan tindakan mungkin tidak popular atau diterima semua kumpulan etnik dan sosial.
Contohnya, apabila kerajaan memperkenalkan dasar tertentu untuk mengawal kestabilan politik atau ekonomi, ia mungkin menyebabkan ketidakpuasan hati dalam kalangan segmen masyarakat tertentu, berasa terpinggir atau tidak diberikeadilan. Sebaliknya, membina negara bangsa berfokus kepada usaha untuk membangunkan kesatuan identiti dan perpaduan sosial.
Pendekatan inklusif, adil semua kumpulan
Ini memerlukan pendekatan inklusif dan adil kepada semua kumpulan etnik, agama dan budaya. Konflik boleh berlaku apabila dasar politik keras atau eksklusif bertembung dengan usaha mempromosikan keharmonian dan perpaduan sosial.
Aspek kedua ialah dalam hal pembahagian sumber dan peluang. Dalam usaha membina negara, kerajaan perlu membuat keputusan pembahagian sumber dan peluang, seperti pembangunan infrastruktur, pendidikan serta pekerjaan. Keputusan ini kadang-kadang dibuat berdasarkan keperluan politik atau ekonomi mendesak, sehingga mengabaikan kepentingan kumpulan etnik atau sosial.
Bagaimanapun, usaha membina negara dan bangsa memerlukan pengagihan sumber serta peluang adil untuk memastikan semua kumpulan masyarakat berasa dilibatkan dan diiktiraf. Apabila terdapat ketidakadilan dalam pembahagian ini, ia boleh menyebabkan ketegangan antara kumpulan etnik atau sosial, seterusnya merosakkan usaha membina negara bangsa.
Aspek ketiga berpotensi membawa konflik adalah proses membina identiti nasional Malaysia dengan identiti etnik dan budaya. Proses membina negara bangsa sering menekankan pentingnya mengukuhkan identiti nasional. Ini boleh membabitkan usaha menyatukan pelbagai kumpulan etnik di bawah satu identiti sama.
Bagaimanapun, dalam proses ini, identiti etnik dan budaya individu mungkin diabaikan atau ditekan, menyebabkan rasa tidak puas hati dan penolakan. Sebaliknya, proses membina negara mungkin memerlukan pengiktirafan dan penghargaan terhadap kepelbagaian etnik serta budaya untuk memastikan kestabilan politik dan sosial.
Maka, bagi menangani tiga aspek utama ini, kerangka MADANI berpotensi menjadi ‘ruang kompromi’ membangunkan negara dan bangsa Malaysia. Namun, kemampuannya menjadi kerangka integrasi bagi kedua-dua proses ini amat bergantung kepada sejauh mana keberkesanan pelaksanaan, pembabitan semua pihak dan komitmen terhadap prinsip asas MADANI itu sendiri.
Dengan memastikan pelaksanaan inklusif, bebas daripada kepentingan politik dan berlandaskan prinsip keadilan, demokrasi, dan tatakelola baik, Malaysia boleh membina negara bangsa kukuh, bersatu dan menjadi menjadi negara maju dengan acuannya sendiri.
SUMBER: BERITA HARIAN