Ada menyangka Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) begitu berkuasa hingga berupaya menurunkan mana-mana kandungan dalam talian dianggap jelik, ternyata sangkaan itu meleset sama sekali.
Lihat sahaja beberapa kes sebelum ini. Seorang bapa terdesak meminta bantuan saya kerana bekas teman lelaki anak perempuannya menaikkan gambar sangat peribadi dalam talian.
Hubungan mereka mulai berantakan dan keadaan lebih teruk apabila gambar itu tiba-tiba muncul di beberapa laman lucah.
Laporan dibuat tetapi SKMM menghadapi halangan kerana pemilik platform sosial asing tidak perlu bertindak segera.
Permintaan dibuat kepada platform ‘panel pengantaraan dan penyederhanaan’ mengambil masa mereka sendiri dan enggan mendedahkan identiti pelaku dengan menyatakan tidak mempunyai kewajipan di bawah undang undang untuk menyekat apa-apa.
Kes lain membabitkan penyangak menyiarkan gambar bekas teman wanitanya dan memanggilnya dengan pelbagai gelaran menghina serta memalukannya dalam talian. Perbicaraan kes ini masih berlangsung selepas pelakunya dikenal pasti.
Dalam kes saya, seseorang dikenali ‘pengacau tegar’ menggunakan identiti dan akaun berbeza, menyiarkan maklumat palsu serta fitnah mengenai beberapa individu di tempat kerjanya sebelum ini.
Dia menyasarkan saya – menggunakan telefon bimbit dan gambar ibunya untuk membuka akaun di bawah namanya.
Laporan polis dan SKMM dibuat, manakala polis akhirnya sampai ke rumahnya untuk mengambil keterangan selepas identiti dikenal pasti. Selepas menamatkan siasatan, polis membuat beberapa cadangan kepada pihak pendakwaan.
Saya tidak berniat memanjangkannya kerana lebih terarah memaafkan. Saya mendapat tahu lelaki itu terasa hati kerana saya berkawan dengan bekas rakan sekerja tidak disukainya.
Setiap hari polis menerima pelbagai laporan membabitkan isu dalam talian daripada penipuan (scam) kepada buli siber dengan seluruh kehidupan individu tidak berdosa musnah akibat kehilangan simpanan dan ditipu.
Jarang sekali nasib mangsa menjadi perhatian. Platform media sosial memperoleh wang dalam jumlah besar, tidak bertanggungjawab ke atas penderitaan rakyat, tidak mempunyai pejabat atau wakil di negara ini atau tertakluk sebarang bentuk penalti.
Bagi media ini, kandungan dibuat wartawan semuanya diambil dan disiarkan dalam talian tanpa iklan.
Memang perkara sihat untuk membaca dan mendengar rakyat bertekak dan berhujah mengenai langkah kerajaan mencadangkan rangka kerja kawal selia baharu, untuk melesenkan platform media sosial memiliki sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar.
Peraturan cetus perdebatan
Peraturan akan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan itu mencetuskan perdebatan, walaupun kerajaan berkata ia bagi memastikan persekitaran dalam talian lebih selamat untuk pengguna.
Platform seperti Meta (Facebook, Instagram dan Google Chat), TikTok, Telegram dan X perlu memohon lesen daripada kerajaan.
Paling dibimbangkan berhubung langkah ini kemungkinan akan memberi kesan kepada kebebasan bersuara, terutama kritikan terhadap kerajaan.
Sesetengah pihak melihat peraturan ini sebagai ancaman dan membandingkannya dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang masih memerlukan permohonan permit untuk semua penerbitan akhbar dan majalah cetak.
Mereka berkata, Malaysia mencatatkan jumlah permintaan menurunkan kandungan tertinggi di dunia pada separuh kedua 2023.
Mereka juga menekankan kedudukan Kebebasan Akhbar Dunia 2024, Malaysia menurun kepada tempat ke-107 berbanding 73.
Jarang sekali diperkatakan atau tidak diendahkan ialah 70 peratus permintaan menurunkan kandungan adalah untuk menghentikan aktiviti perjudian dalam talian dan penipuan.
SKMM menerima lebih 3,400 aduan mengenai ucapan kebencian antara 2020 hingga 2023. Dalam tempoh sama, RM3.2 bilion hilang akibat penipuan dalam talian.
Direkodkan tahun lalu sahaja kerugian membabitkan penipuan dalam talian menjangkau lebih RM1 bilion dan setiap hari tidak kurang 10 kes buli siber dilaporkan.
Judi dalam talian juga membebankan kerajaan, dengan anggaran RM2 bilion hasil cukai ‘tiris’ setiap tahun. Ada berpandangan angka ini boleh mencecah hingga RM5 bilion setiap tahun.
Dari 1 Januari hingga 13 Julai lalu, data menunjukkan SKMM meminta 128,133 kandungan diturunkan, namun 109,624 diambil tindakan. Sebanyak 53 peratus berkaitan judi dalam talian; penipuan (22 peratus); berita palsu (13 peratus); 3R (raja, bangsa, agama) (lima peratus) dan gangguan (lima peratus).
Bagi kebanyakan lebih banyak membaca bahan di media sosial menggunakan bahasa Inggeris, mungkin tidak sedar banyak komen berbentuk kebencian dan perkauman dipaparkan semasa isu KK Mart mencapai kemuncaknya.
Sanggupkah kita membenarkan semua ini berlaku atas nama kebebasan akhbar dengan penulis tanpa nama menyiarkan semua jenis maklumat rekaan tanpa perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka, terutama mencuri wang titik peluh rakyat?
Tidak kisahlah ahli politik ‘diserang’ dalam talian kerana mereka perlu ‘bermuka tebal’ untuk menerima tekanan atau kecaman.
Individu sudah berumur memerlukan perlindungan daripada ditipu kononnya boleh mendapat pendapatan tambahan daripada simpanan semakin berkurangan.
Bimbang kes eksploitasi kanak-kanak
Ada lagi yang juga amat membimbangkan, pemangsa seksual menyamar kanak-kanak menyasarkan anak bawah umur dalam talian.
Walaupun tanpa tanda khusus unsur pedofilia, SKMM menerima banyak aduan kandungan dalam talian eksploitasi seksual kanak-kanak, iaitu 77 kes pada 2021; 51 (2022); 75 (2023) dan 17 (setakat 24 Julai 2024).
Jumlah kes penipuan terus meningkat, iaitu 3,449 kes pada 2021; 2,675 (2022); 4,180 (2023) dan 2,466 (setakat 24 Julai 2024).
Ahli SKMM, Derek Fernandez, berkata langkah kerajaan itu meletakkan Malaysia sejajar perkembangan global menyaksikan semakin banyak kawal selia untuk memastikan platform ini lebih bertanggungjawab.
“Contoh trend global ialah pengenalan Digital Service Act oleh Kesatuan Eropah (EU) menetapkan kewajipan platform mengehadkan penyebaran kandungan haram dan melarang iklan disasarkan kepada kanak-kanak di bawah umur, di samping rangka kerja kawal selia serupa di ASEAN seperti Singapura, Indonesia serta Vietnam,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai undang-undang kukuh, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tetapi platform dalam talian mungkin percaya ia tidak terpakai kepada mereka, hanya tertakluk pemain tempatan.
“Melihat sifat perkhidmatan disediakan, kesan ketara dan capaian platform ini kepada setiap aspek kehidupan pengguna, adalah penting untuk dikawal selia di bawah akta ini.
“Rangka kerja pelesenan dicadangkan memerlukan platform asing mendaftar dengan SKMM. Selepas pendaftaran, platform akan bertanggungjawab mematuhi undang-undang kita berkaitan, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010.
Fernandez berkata, apa amat mengecewakan ialah platform berkenaan tidak bertanggungjawab dari segi undang-undang untuk mewajibkan ia mengambil langkah proaktif menangani kemudaratan dalam talian dengan percambahan iklan perjudian haram dan penipuan menyerlahkan kelemahan ini.
“Pada masa ini, platform asing tidak diberi insentif mencukupi untuk meningkatkan operasi dalam memerangi isu ini kerana tiada keperluan undang-undang memaksa mereka berbuat demikian,” katanya. – BERNAMA
Penulis adalah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)
SUMBER: BERITA HARIAN