SISIPAN SEJARAH PADA 22 JUN 1957: PENGISYTIHARAN TERENGGANU SEBAGAI NEGERI BERSIH ANCAMAN KOMUNIS YANG PERTAMA
Pada hari ini dalam tahun 1957, kawasan Air Jernih di daerah Kemasik, Terengganu, diisytiharkan sebagai kawasan putih. Pengisytiharan itu dibuat oleh DYMM Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Dengan pengisytiharan ini menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu, diisytiharkan bersih secara keseluruhannya dari ancaman komunis. Air Jernih di daerah Kemasik ini merupakan kawasan yang ke 47, diisytiharkan bersih di negeri Terengganu. Pengisytiharan ini menamatkan sekatan-sekatan darurat yang dikenakan selama 8 tahun dikawasan yang didiami oleh 1/3 kaum Cina dan selebihnya kaum Melayu ini. Pengisytiharan ini merupakan satu kemenangan besar bagi Sultan dan rakyat negeri Terengganu serta membuktikan rakyat pelbagai kaum yang taat setia dan cintakan tanahair, mampu bekerjasama dalam usaha melemah dan menghapuskan kegiatan komunis yang mengancam keselamatan rakyat dan negara.
Sumber: Arkib Negara Malaysia