MALAYSIA TANGGA KETUJUH NEGARA PALING DIPERCAYAI – KAJIAN EDELMAN

KUALA LUMPUR: Malaysia tersenarai di tangga ketujuh negara paling dipercayai menerusi hasil kaji selidik Barometer Kepercayaan Edelman 2024 yang membabitkan tinjauan ke atas 28 negara.

Laporan itu menyatakan Malaysia naik dua anak tangga selepas mencatat kenaikan enam mata kepada 68 dalam skor atau pemarkahan Indeks Kepercayaan secara menyeluruh yang mewakili purata peratusan kepercayaan orang ramai terhadap badan bukan kerajaan (NGO), perniagaan, kerajaan dan media.

Negara-negara lain dalam kelompok 10 teratas adalah China (skor 79), India (76), Emiriah Arab Bersatu (74), Indonesia (73), Arab Saudi (72), Thailand (70), Singapura (67), Kenya (64) dan Nigeria (61).

Dalam kenyataannya, Edelman berkata kerajaan telah menyaksikan peningkatan memberangsangkan sebanyak 13 mata dalam kepercayaan orang ramai sejak tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi Edelman Malaysia, Chris de Cruz berkata peningkatan kepercayaan yang diraih Malaysia menunjukkan anjakan persepsi awam terhadap tadbir urus dan rangka kerja institusi negara ini.

“Keadaan itu memaparkan peningkatan optimis dalam kemampuan mengemudi cabaran ekonomi serta memupuk pertumbuhan inklusif,” katanya.

Hasil kaji selidik itu menunjukkan perniagaan menjadi institusi paling dipercayai dengan skor 75, diikuti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) (70), kerajaan (67) dan media (60).

Edelman juga menyifatkan perniagaan dilihat sebagai teras pemacu perubahan masyarakat dan menjadi institusi paling dipercayai.

Berdasarkan kaji selidik itu, warga Malaysia juga berharap agar kelompok ketua pegawai eksekutif untuk berdiri kukuh dalam isu-isu kritikal termasuk gaji saksama, perubahan iklim dan ketidaksamaan ekonomi.

“Perniagaan yang seiringan dengan nilai-nilai awam dan secara aktif menangani kebimbangan masyarakat, lebih cenderung meraih sokongan orang ramai. Perniagaan adalah institusi paling dipercayai dalam Barometer Kepercayaan Edelman yang dilihat sebagai mekanisme inovasi.

“Bagaimanapun, perniagaan juga perlu mengutamakan pelaksanaan dan menerima perubahan sama seperti penyelidikan dan pembangunan,” kata de Cruz.

Laporan itu membabitkan kaji selidik dijalankan pada 3-22 November 2023 dan meninjau lebih 32,000 responden di 28 negara, termasuk lebih 1,000 di Malaysia yang turut memberi gambaran sentimen awam mengenai aspek kepercayaan, inovasi dan tadbir urus.

Usaha itu juga menjadi tinjauan kepercayaan dan kredibiliti tahunan bagi firma itu yang mengetengahkan asas program kepimpinan pemikirannya yang meneliti keyakinan dan kredibiliti merentasi industri, geografi dan demografi.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …