DISCOVER PETRONAS @SCHOOLS TARIK MINAT PELAJAR RANAU TERHADAP STEM

RANAU: Discover PETRONAS @Schools di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau, di sini, semalam berjaya menghimpunkan seramai 420 pelajar dan 39 guru dari sekitar daerah ini.

Program yang julung kali diadakan di daerah ini bertujuan menyemarakkan minat pelajar terhadap subjek sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).

Ia mendedahkan pelajar terhadap peluang kerjaya dalam sektor minyak, gas, dan tenaga serta memperkenalkan mereka kepada penajaan pendidikan PETRONAS.

Selain itu, program berkenaan juga menampilkan forum kerjaya, aktiviti interaktif, dan pengalaman pembelajaran secara langsung, yang difasilitasi oleh sukarelawan PETRONAS.

Majlis itu dihadiri Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun yang turut menyaksikan penyerahan Obor Ulang Tahun ke-50 PETRONAS sebagai simbolik pembudayaan ilmu dan inovasi merentas generasi.

Obor itu adalah satu daripada dua obor ‘Journey of the Twin Torches’ yang dibawa menjelajah secara berasingan ke pelbagai lokasi dan acara yang signifikan dalam legasi PETRONAS.

Kedua-dua obor itu akan disatukan pada sambutan ulang tahun PETRONAS ke-50 di Kuala Lumpur pada 17 Ogos depan.

Masidi berkata, penganjuran program Discover PETRONAS @Schools di MRSM Ranau amat bermakna kerana MRSM Ranau adalah institusi yang terbaharu di daerah ini dan menjadi kebanggan warga Ranau.

“Program ini adalah platform terbaik untuk pelajar mendapat pendedahan mengenai peluang kerjaya dalam sektor minyak, gas, dan tenaga,” katanya.

Naib Presiden Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Ruslan Islahudin, pula berkata PETRONAS sentiasa komited dalam memastikan inisiatif pendidikan PETRONAS sampai ke seluruh pelusuk Sabah.

Jelasnya, pada tahun lalu saja, PETRONAS menjalankan pelbagai program pendidikan dan pembangunan modal insan melibatkan 136,100 belia Sabah.

Sementara itu, dalam perkongsiannya ketika forum pengalaman kerjaya, Pengurus Besar Kanan Rakan Kongsi Sumber Manusia Global, Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS, Maria Teo berkata inisiatif pendidikan syarikat itu bermula seawal 1975.

Maria, yang berasal dari Penampang, turut berkongsi peristiwa bersejarah dalam hidupnya apabila ditawarkan tajaan pendidikan PETRONAS pada 1996.

Beliau adalah seorang daripada dua penerima rakyat Sabah pada tahun itu.

“Selama setengah abad, PETRONAS telah membentuk dan memupuk bakat pelbagai anak muda di seluruh negara, termasuk diri saya sendiri,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Info X

Artikel/Berita Terkini

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut

PPSPM TAWAR PLATFORM IKLAN PADA BOT MELAKA RIVER CRUISE

Bandaraya Melaka – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) semakin agresif dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya termasuk menerusi tawaran ruang …
Maklumat Lanjut