KES BUNUH PELAJAR KOLEJ VOKASIONAL, PERMOHONAN IKAT JAMIN DITOLAK

TAWAU: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan jaminan terhadap tujuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berkait pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, 22 Mac lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol, membuat keputusan itu terhadap kesemua tertuduh selepas mendengar permohonan dikemukakan peguam Datuk Ram Singh yang mewakili semua tertuduh.

Duncan berkata, mahkamah mendapati kes ini bersifat pramatang kerana belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan tiada keistimewaan dikemukakan oleh pemohon untuk diberikan jaminan.

Ram Sing dalam permohonannya berkata, permohonan jaminan yang dikemukakan itu adalah berkait dengan isu pendidikan semua pemohon.

Katanya, semua pemohon adalah penduduk tempatan dan tiada risiko untuk melarikan diri kerana ibu bapa mereka akan menjadi penjamin.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain berkata, berkaitan isu jaminan berkenaan, pemohon sudah tidak layak meneruskan pendidikan di kolej berkenaan seperti yang dinyatakan dalam Affidavit oleh Pengarah Kolej Vokasional Lahad Datu.

Bagaimanapun, katanya, pemohon boleh meneruskan pendidikannya sebagai calon persendirian untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Terdahulu, 13 pelajar berusia 16 hingga 19 tahun dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 21 Mac dan 22 Mac lalu kira-kira 9 malam hingga 7.38 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun namun tidak melebihi 40 tahun dan tidak lebih 12 sebatan.

Mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001, pesalah bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang Dipertua Negeri mengikut di mana kesalahan itu berlaku.

Sebutan Kes ditetapkan 27 Jun ini di Mahkamah Majistret Lahad Datu.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Info X

Artikel/Berita Terkini

PEMBUKAAN PUSAT MEDIA SEMPENA PRU DEWAN UNDANGAN NEGERI MELAKA KE-16

𝐏𝐄𝐌𝐁𝐔𝐊𝐀𝐀𝐍 𝐏𝐔𝐒𝐀𝐓 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐒𝐄𝐌𝐏𝐄𝐍𝐀 𝐏𝐑𝐔 𝐃𝐄𝐖𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐃𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐊𝐀 𝐊𝐄-𝟏𝟔Pusat Media Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri, Negeri Melaka …

AADK NEGERI MELAKA LAKSANA KEMPEN KESEDARAN AWAM

AADK NEGERI MELAKA LAKSANA KEMPEN KESEDARAN AWAM SEMPENA HARI BERTEMU PELANGGAN JABATAN PENDAFTARAN NEGARA NEGERI MELAKA Melaka – Agensi Antidadah …

PERKUKUH SINERGI INSTITUSI, MANTAPKAN KESELAMATAN NEGERI : KETUA POLIS MELAKA

 Melaka – Ketua Polis Melaka, YDH DCP Datuk Wira Dzulkhairi bin Mukhtar, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang …