KEBAKARAN KILANG CAT: JAS TEMPATKAN DUA ALAT UKUR KUALITI UDARA

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menempatkan dua alat pengukur kualiti udara di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Meru bagi memantau situasi susulan insiden pelepasan asap tebal akibat kebakaran membabitkan sebuah kilang memproses cat di Taman Perindustrian Meru, Klang semalam.

Ketua Pengarah JAS Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam kenyataan hari ini berkata pengukuran gas pencemar menggunakan alat penganalisis pelbagai gas mudah alih yang menggunakan teknologi spektroskopi inframerah transformasi Fourier (FTIR) setakat 8 malam tadi tidak mengesan sebarang gas toksik di udara.

“Namun begitu, pengukuran tahap kualiti udara masih diteruskan secara berkala sehingga keadaan kembali seperti biasa,” katanya.

Menurut Wan Abdul Latiff berdasarkan pengawasan melalui stesen pengawasan kualiti udara JAS di lokasi berhampiran iaitu di Pandamaran, Klang, nilai bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada 8 malam adalah 69 iaitu pada tahap sederhana dan di bawah had yang ditetapkan oleh Standard Kualiti Udara Ambien Malaysia.

Berikutan kemusnahan kawasan penstoran bahan mentah di premis, katanya JAS juga telah mengeluarkan arahan kerja pembersihan dan pelupusan sisa bahan kimia terbakar ke Premis Yang Dilesenkan (PYDT), manakala penilaian di lapangan turut mendapati parit di sekitar kawasan SK Meru telah dicemari pigmen berwarna hijau.

Kerja pembersihan telah selesai sepenuhnya petang semalam, namun pada masa sama pemantauan pengaliran air daripada aktiviti pemadaman di kawasan premis terus dijalankan bagi memastikan air daripada aktiviti pemadaman tidak disalurkan ke kawasan perparitan luar premis dan menjejaskan kualiti air.

Semalam, dua bangunan sebuah premis pembuatan cat di Taman Perindustrian Meru terbakar kira-kira 6.20 pagi dan berdasarkan siasatan awal, kebakaran itu melibatkan kawasan penstoran bahan mentah mudah terbakar berunsurkan pelarut organik.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …