KOTA KINABALU (18 April): Kajian Kebolehlaksanaan Projek Trans Borneo Railway akan dilaksanakan pada tahun ini bersama dua lagi kajian berkaitan pengangkutan rel di Sabah.
Perkara itu diumumkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, hari ini.
Beliau berkata, dua lagi kajian yang dimulakan pada tahun ini ialah Kajian Kemungkinan dan Rekabentuk Awalan Bagi Pembinaan Landasan Kereta Api dari Putatan ke KKIP dan Pelabuhan Sepanggar serta Kajian Hala Tuju Jabatan Keretapi Negeri Sabah.
“Bagi memperkasa sektor pengangkutan, satu daripada cabang pengangkutan darat iaitu perkhidmatan kereta api akan ditambah dan diperluas secara berperingkat.
“Ini termasuk memperkenalkan perkhidmatan baharu yang melibatkan sektor pelancongan dan rekreasi. Untuk perancangan jangka panjang, pada tahun ini, tiga kajian akan mula dijalankan,” katanya.
Cadangan Projek Trans Borneo Railway baru-baru ini tular selepas sebuah syarikat dari Brunei mengemukakan minat untuk membangunkan projek mega itu bagi menghubungkan wilayah Kalimantan, Indonesia dengan Sarawak, Brunei dan Sabah.
Pembangunan kereta api adalah antara usaha yang giat dilaksanakan kerajaan negeri dalam menyediakan infrastruktur, utiliti dan jaringan komunikasi yang mampan bagi menyokong aktiviti sektor utama di samping meningkat taraf hidup rakyat.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: Info X