ESSCOM KOMITED ANGKAT SEMULA IMEJ ESS ZONE SEBAGAI KAWASAN KESEJAHTERAAN

KINABATANGAN (27 Mac): Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) komited untuk mengangkat semula imej Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) sebagai kawasan selamat dan sejahtera ke peringkat antarabangsa.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, pihaknya telah mengangkat cadangan kepada Kerajaan untuk menukar peta ESS Zone yang kini menggunakan warna merah kepada putih. Katanya, ia termasuklah cadangan untuk menamakan kawasan ESS Zone sebagai kawasan kesejahteraan bagi meningkatkan keyakinan bahawa kawasan pantai Timur Sabah adalah selamat untuk semua.

“Selain itu, di pihak ESSCOM juga kita berusaha memanggil duta-duta asing datang melawat ke kawasan pantai Timur Sabah dan merasai sendiri keindahan dan kesejahteraan di ESS Zone,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sesi libat urus ESSCOM bersama komuniti ESS Zone daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag di sini. Sesi libat urus yang dihadiri kira-kira 300 orang warga daerah Kinabatangan itu adalah bagi meneliti penerimaan masyarakat dan kumpulan sasar dalam sektor perdagangan, perniagaan, perikanan, pelancongan serta pendidikan terhadap langkah penjenamaan semula Perintah Berkurung kepada PKP ESS Zone Sabah.

Selain itu, program itu juga adalah bagi menganalisis keberkesanan pelaksanaan arahan tersebut serta mengenal pasti ancaman sedia ada dan mengkaji hala tuju dari segi pengecilan kawasan PKP ESS Zone Sabah atau memansuhkan perintah tersebut secara menyeluruh atau hybrid.

Kajian itu akan turut meneliti mekanisme alternatif bagi menggantikan arahan tersebut sekiranya diputuskan untuk dimansuhkan pelaksanaannya. Justeru, Victor mengajak warga Kinabatangan yang hadir ke sesi libat urus itu supaya menjawab soal selidik mengenai kajian PKP ESS Zone Sabah sebaik mungkin agar kajian yang dijalankan mendapat hasil yang komprehensif demi manfaat bukan sahaja negeri Sabah tetapi Malaysia amnya.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Sabah Media

 

Artikel/Berita Terkini

PENGANGGUR MILIKI 33 REKOD JENAYAH BERJAYA DIBERKAS DI TAWAU

TAWAU (7 Mei):  Polis menahan dua orang suspek lelaki selepas dipercayai terlibat dalam kes memecah masuk sebuah kedai runcit di …
Maklumat Lanjut