PERUBAHAN PORTFOLIO EXCO PAHANG DIUMUM ESOK – MB

KUANTAN: Perubahan portfolio membabitkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang akan diumumkan esok, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, perubahan itu akan dilaksanakan bagi memantapkan lagi pentadbiran kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

“Sikit saja, tak ramai (perubahan portfolio)…ada sikit perubahan untuk tambah baik, kemaskan pentadbiran kerajaan negeri supaya lebih berkesan…esok saya akan buat pengumuman,” katanya selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan yang berlangsung di hadapan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di sini, hari ini.

Pada istiadat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) baharu.

Sementara itu, Amizar, 50, berkata pelantikan itu mengejutkannya kerana hanya dimaklumkan mengenai majlis itu pada jam 1 tengah hari tadi, justeru beliau menzahirkan penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah dan berterima kasih kepada Wan Rosdy yang memberikan kepercayaan kepadanya.

Beliau berkata, amanah itu akan dijalankan sebaik mungkin termasuk dalam isu membantu golongan asnaf dan membasmi kemiskinan yang menjadi keutamaan pelbagai pihak.

“Saya akan bersama-sama Menteri Besar untuk memperkasakan dan memantapkan lagi agenda pentadbiran kerajaan negeri untuk membantu rakyat,” katanya.

Amizar, 50, yang berasal dari FELDA Chemomoi, Bentong memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 7 Oktober tahun lalu, dengan majoriti 2,949 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun maut dalam insiden pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos tahun lalu.

Sumber: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM ADVOKASI KESELAMATAN UTUK PENGGUNA JALAN RAYA

Program Advokasi dilakukan oleh Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat (UKJRK) JPJ Negeri Sembilan & anggota daripada JPJ Cawangan Kuala …
Maklumat Lanjut

CEGAH BENCANA DI STESEN MINYAK

CEGAH BENCANA DI STESEN MINYAK Kehadiran bahan api (petrol), oksigen dan percikan api adalah 3 komponen penting untuk mencetuskan kebakaran …
Maklumat Lanjut