POLIS PAHANG PATAH CUBAAN EDAR DADAH BERNILAI RM543,559

KUANTAN: Polis Pahang berjaya mematahkan cubaan mengedar dadah jenis syabu, heroin dan pil yaba dianggarkan seberat lebih 26 kilogram (kg) bernilai RM543,559 susulan penahanan enam individu termasuk seorang wanita dalam satu operasi khas di sini pada Ahad dan Isnin lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, semua suspek berusia 25 hingga 51 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Tanjung Lumpur dan Indera Mahkota di sini.
Menurutnya, susulan penahanan suspek, polis menemui dan merampas dadah jenis syabu dianggarkan seberat 10.41 kilogram (kg), pil yaba ( 3249.9 gram) dan heroin (12.66 kg).
“Dadah terbabit ditemui dalam kenderaan dan bilik penginapan suspek.
“Turut dirampas dua kenderaan, wang tunai RM888 dan pelbagai barang kemas bernilai RM13,190,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.
Yahaya berkata, tangkapan pertama melibatkan tiga suspek termasuk seorang wanita di sekitar kawasan Tanjung Lumpur di sini pada jam 6.17 petang, Ahad lalu.
“Hasil serbuan dijalankan, polis merampas dadah jenis syabu dan pil yaba dengan berat keseluruhan dianggarkan lebih 13.6 kilogram bernilai RM438,429, sejumlah wang tunai, barang kemas dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipercayai milik salah seorang suspek.
“Saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah dan memiliki rekod lampau berkait kes dadah,” katanya.
Sementara itu katanya, tangkapan kedua melibatkan tiga lelaki di sekitar Indera Mahkota antara jam 10 pagi pada Ahad hingga jam 12.23 pagi pada Isnin.
Beliau berkata, berikutan penahanan kesemua lelaki warga tempatan itu, polis merampas dadah heroin dianggarkan seberat 12.66kg bernilai lebih RM150,000 dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai kenderaan sewa.
“Salah seorang suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripada mereka turut memiliki rekod lampau berkait kes dadah,” jelasnya.
Tambah beliau, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 5 hingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bekalan dadah dipercayai diperoleh dari Utara untuk dipasarkan sekitar Pahang dan negeri-negeri Pantai Timur lain.
Sumber : SINAR HARIAN

Artikel/Berita Terkini

ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, …
Maklumat Lanjut

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ TEMA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA (HKHM) 2025

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ merupakan tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan …
Maklumat Lanjut

AKSI INTIM DI MEDIA SOSIAL: MENGAUT UNTUNG ATAU MEMPERJUDIKAN MARUAH BANGSA?

“Apabila nafsu dijadikan komoditi, dan privasi dijual beli seperti barang pasar, maka nilai sebuah maruah tidak lagi bermakna.” Fenomena merakam …
Maklumat Lanjut