ISTANA AMPANG TINGGI

Istana Ampang Tinggi merupakan istana Yamtuan Ulin, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-5 (1861 – 1869). Yamtuan Ulin juga dikenali sebagai gelaran Yamtuan Imam. Istana Ampang Tinggi ini mula dibina pada tahun 1861 sebaik sahaja Yamtuan Imam ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang menggantikan Yamtuan Radin.

Istana ini siap dibina pada tahun 1865. Tapak asal istana ini terletak di atas permatang yang menghala ke kawasan sawah padi di Kampung Ampang Tinggi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Ia dinamakan Istana Ampang Tinggi mengambil sempena nama tempat di mana ia dibina. Ampang Tinggi terletak di pertengahan jalan di antara Tanjong Ipoh dan Kuala Pilah.

Bangunan istana ini diukir oleh beberapa tukang ukir Melayu. Ukiran β€˜awan berarak’ terdapat pada dinding pemisah ruang serambi dengan ruang tengah sepanjang 914 cm dan tinggi 305 cm. Ukiran-ukiran lain terdapat pada pintu, tingkap, tangga dan beberapa bahagian tempat lain.

Istana Ampang Tinggi siap dibina dan diduduki oleh Yamtuan Ulin pada tahun 1865 kemudiannya dihadiahkan istana ini kepada puteri baginda yang bernama Tunku Cindai yang berkahwin dengan Tunku Muda Cik, putera kepada Yamtuan Radin. Tunku Muda Cik dan isterinya mendiami istana ini setelah kemangkatan Yamtuan Ulin pada tahun 1869.

Seterusnya istana ini menjadi milik puteri Tunku Muda Cik yang bernama Tunku Halijah. Tunku Halijah berkahwin dengan Tuanku Muhammad Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-7 (1898 – 1937). Selepas kemangkatan Tunku Halijah pada tahun 1921, istana ini didiami oleh kaum keluarga Tunku Muda Cik.

Pada tahun 1953, Istana Ampang Tinggi yang semakin usang telah dirobohkan dan dibina semula di Seremban setelah mendapat perkenan dari Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-8. Bangunan istana yang dipindahkan ialah komponen rumah ibu dan rumah tengah. Istana ini siap dibina semula pada tahun 1954 dan dijadikan sebagai Muzium Negeri oleh Jeneral Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British pada masa itu.

Apabila Kompleks Budaya Negeri Sembilan siap pembinaannya, Istana Ampang Tinggi dipindahkan ke kompleks tersebut. Istana Ampang Tinggi merupakan istana Raja-Raja Melayu yang dianggap tertua yang masih dikekalkan.

Pelawat boleh mengunjungi istana ini setiap hari kecuali hari isnin dan masuk adalah percuma.

 

Sumber: FB Lembaga Muzium Negeri Sembilan

 

Artikel/Berita Terkini

HARMONIKAH KITA? #BLOCKOUT ATAU #MAKIOUT.

Pada 27 Oktober 2023, tentera Israel mula melancarkan serangan darat ke atas Gaza, terutamanya di utara dan Bandar Gaza. Israel …
Maklumat Lanjut

KERJA ADALAH IBADAH DAN AMANAH

IBADAH berasal dari Bahasa Arab yang bererti ketaatan, penghambaan dan penyembahan/ pengagungan. Menurut Ibnu Taimiyyah, ibadah adalah nama yang menggabungkan …
Maklumat Lanjut