PERSANDINGAN MADANI LIMA ‘PENGANTIN LAMA’ PELBAGAI KAUM

JELEBU – Menjadi rezeki buat lima pasangan ‘pengantin lama’ apabila berpeluang bersanding buat kali kedua dalam majlis Persandingan Madani sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Daerah Jelebu di sini pada Sabtu.

Majlis yang diadakan di Dewan D’Sury Kuala Klawang itu dianjurkan oleh pentadbiran kerajaan daerah Jelebu dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir.

Pasangan yang diraikan ialah Nor Izzati Munirah Rozaidi, 28, dan Muhammad Izzat bin Zakaria, 31; Muhammad Najmi Baharom, 24 dan Rafisha Natasya Rahimi, 25; serta Muhd Alif Kushairu Bin Hasli, 28, dan Nurul Syuhada Binti Jaafar, 30.

Selain itu M S Hervindraan 31, dan R Balambigai, 29 serta Nicholas Teng, 30, dan Helina Fong, 34.

Menurut Bakri, majlis berkenaan dianjurkan sebagai inisiatif menterjemahkan konsep Madani sekali gus menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Walaupun berlainan bangsa tetapi kita boleh hidup dalam suasana perpaduan yang erat dan inilah keunikannya Malaysia.

“Jika majlis sebegini dapat dijadikan sebagai tarikan pelancong, kita bercadang menjadikan ia sebagai acara tahunan di daerah Jelebu,” katanya.

Jelasnya, kesemua pasangan berkenaan telah pun diijabkabulkan sebelum ini tetapi hanya berpeluang mengadakan majlis secara ala kadar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Menurut Nor Izzati, penyertaannya dalam majlis persandingan tersebut menjadi kenangan terindah kerana ia berlangsung pada sambutan ulang tahun kedua perkahwinannya.

“Saya dan suami terpaksa bernikah di pejabat kadi pada 21 Mei 2021 kerana ketika itu negara masih berada dalam tempoh PKP.

“Selepas beberapa bulan bernikah baharulah kami adakan majlis perkahwinan. Tapi bila ibu beritahu kami dijemput untuk sertai persandingan Madani itu, saya dan suami tak fikir panjang untuk sertai kerana ia tarikh ulang tahun perkahwinan kami,” katanya.

Hervindraan yang bekerja sebagai juruteknik pula berkata, program itu amat baik kerana dapat mengumpulkan pelbagai kaum sambil melihat keunikan budaya perkahwinan masing-masing.

Tambahnya, ia menjadi faktornya dan isteri tidak menolak apabila diberi peluang untuk bersanding kali kedua.

Sementara itu majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad dan isteri, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

MALAYSIA-INDONESIA METERAI PERJANJIAN PERKAPALAN

Pada 4 November dalam tahun 1986, Malaysia dan Indonesia memeterai  satu perjanjian perkapalan yang pertama dibuat antara anggota ASEAN. Malaysia …

PERJANJIAN PERDAGANGAN DI ANTARA PERSEKUTUAN TANAH MELAYU DENGAN REPUBLIK KOREA

Pada 5 November dalam tahun 1962, satu perjanjian perdagangan di antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan kerajaan Republik Korea telah …

PENUBUHAN PERBADANAN PERKAPALAN ANTARABANGSA MALAYSIA BERHAD

Pada 6 November dalam tahun 1968,  Malaysia International Shipping Corporation Berhad (kini dikenali sebagai MISC) telah ditubuhkan sebagai sebuah badan perkhidmatan perkapalan nasional …