KUALA TERENGGANU, 20 OKTOBER 2022
Pada 19 Oktober 2022 (Rabu), bermula jam 8.00 malam, satu Partial Exercise FTX telah diadakan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) bertujuan menguji Airport Emergency Procedure dan kesiapsiagaan seluruh agensi yang terlibat. Latihan tersebut bertindak untuk menguji tahap kesediaan pihak pengendali lapangan terbang dan agensi-agensi dalam menghadapi detik-detik kecemasan serta kerja-kerja menyelamat sekiranya terjadi sebarang kecelakaan.
Objektif latihan ini diadakan adalah bagi memastikan kelancaran proses pengungsian atau evakuasi dijalankan dengan teratur dan lancar, menguji keberkesanan sistem pepasangan keselamatan kebakaran (aktif & pasif) sedia ada, menguji keberkesanan pasukan bertindak semasa kecemasan, komunikasi dan koordinasi bagi perancangan latihan serta perancangan kecemasan sedia ada termasuk pematuhan kepada keperluan mengadakan latihan kebakaran secara berkala sepertimana yang terkandung di dalam Prosedur Kecemasan Lapangan Terbang dan Prosedur Operasi Standard (Standard Operating Procedure).
Latih amal tersebut berlangsung hampir 4 jam dalam keadaan cuaca hujan, dan seluruh agensi terlibat (termasuk PDRM, JPBM, APM, JKNT, MKN, JIM, dll.) telah memberi sepenuh komitmen untuk menjayakan partial exercise tersebut. Semoga latih amal yang lazimnya diadakan saban tahun ini dapat membantu persediaan pihak LTSM dan MAHB dalam menghadapi sebarang kemungkinan sewaktu berlakunya insiden melibatkan pesawat.
Bagi MKN Terengganu, ini adalah penting bagi memastikan bahawa kesemua agensi terlibat dapat bersiap sedia dengan sebarang kecemasan agar ianya boleh diurus tadbir dengan baik dan berkesan. Ianya bagi memastikan sistem pengoperasian di lapangan terbang tidak terjejas serta dalam pada masa yang sama dapat menjaga nama baik Malaysia di mata dunia.