18 Oktober 2022 | Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) telah mengadakan Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Sembilan bertempat di Hotel Klana Resort, Seremban. Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, YBhg Dato’ Dr Abdul Aziz bin Sheikh Ab Kadir, turut menyerikan majlis kehadiran YAA Dato’ Abas bin Nordin selaku Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Sembilan dan majlis turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Sembilan dan Jawatankuasa Tatatertib Peguam Syarie Negeri Sembilan, Ahli Jawatankuasa Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Negeri Sembilan), serta Peguam Syarie yang akan ditauliahkan.
Pentauliahan ini diberikan kepada seramai 42 penerima tauliah dan seorang penerima tauliah khas yang telah diperaku di peringkat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
Dalam Majlis Pentauliahan ini juga para peguam syarie yang baharu telah didedahkan dengan pengisian yang disampaikan oleh YBhg Dato’ Haji Hanif bin Hassan, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Negeri Sembilan) bertujuan untuk mendedahkan kepada para peguam baharu tentang isu dan cabaran yang berkaitan dengan kepeguaman syarie.
YBhg Pengerusi turut menzahirkan ucapan tahniah kepada penerima tauliah dan menyeru agar perkhidmatan guaman yang adil perlu diberikan di Negeri Sembilan. Dalam ucapannya juga YBhg Dato’ Pengerusi MAINS menekankan akan peripentingnya peranan peguam syarie dalam membantu mahkamah menyelesaikan pertikaian pihak-pihak dengan adil dan saksama melalui aspek wakalah al-khusumah. Di akhir ucapan YBhg Dato’ Pengerusi menegaskan berkenaan pematuhan etika kepeguaman oleh para peguam agar integriti seiring dengan khidmat guaman yang diberikan di Negeri Sembilan khasnya.
Sumber: Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan