BANJIR : PINTU AIR SEDIA DIBUKA BILA-BILA MASA

KLEBANG – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka telah bersedia mengeluarkan arahan agar pintu air di beberapa kawasan dalam negeri ini dibuka pada bila-bila masa sahaja sebagai pelan jangka pendek mengatasi isu banjir.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu akan dilakukan mengikut kesesuaian bagi mengatasi banjir, khususnya menjelang fenomena monsun timur laut yang dijangka akan tiba tidak lama lagi.

Katanya, beberapa kawasan sudah dikenal pasti untuk pengendalian pintu air termasuklah di Gangsa, Banda Hilir, Gadek dan Klebang.

“Pembukaan pintu air akan dilakukan sekiranya paras air dilihat sudah menghampiri paras bahaya, dan kita tidak boleh lewat atau terlalu cepat untuk buka pintu air tersebut.

“Contohnya pintu air di Gangsa ‘paddle gate’ itu memainkan peranan untuk pengambilan air oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dalam membekalkan kepada pengguna-pengguna sekitar Melaka Tengah, sebab itu masa untuk buka pintu air itu mesti tepat.

“Itu antara kaedah dan hal itu mesti melalui prosedur operasi standard (SOP) di mana apabila berlaku sahaja banjir, pihak JPS negeri mempunyai kuasa mutlak untuk mengarahkan agensi-agensi berkaitan untuk membuka pintu air dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Sesi Kedua Kursus Pengendalian Bot Penyelamat di Restoran Seafarer di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pegawai Bersekutu Korporat, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Mike Thein.

Mengulas lanjut, ujarnya persediaan menghadapi bah besar itu di seluruh peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibuat menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka sebagai persediaan menghadapi banjir di beberapa kawasan berisiko tinggi.

Beliau turut mengharapkan langkah itu diambil oleh DUN lain yang kerap terlibat dengan bencana banjir untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu pasukan menyelamat.

“Saya sendiri sudah melaksanakan di DUN Ayer Molek, iaitu menyediakan pasukan penyelamat terdiri daripada warga Japerun di mana mereka ini mampu untuk membantu sebelum pihak berkuasa tiba sekiranya berlaku bencana yang tidak diingini,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini

Artikel/Berita Terkini

HIDROGEN SEBAGAI SUMBER TENAGA BAHARU

Hidrogen adalah unsur kimia yang paling ringan di dalam jadual berkala. Ia adalah unsur yang paling biasa di alam, terutamanya …
Maklumat Lanjut

STATUS TERKINI PENYAKIT MALARIA DI MALAYSIA

Malaysia berjaya mencapai SIFAR kes Malaria manusia jangkitan tempatan untuk enam tahun berturut-turut bermula tahun 2018 hingga 2023. Walau bagaimanapun, …
Maklumat Lanjut

PANDANGAN ORANG MUDA JOHOR DIDENGARI

Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) Peringkat Negeri Johor yang berlangsung, hari ini, menjadi platform terbaik mendapatkan maklum balas …
Maklumat Lanjut