TINTA BICARA HARI MALAYSIA: KENALI NEGERI SABAH

DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021-2025

NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 3: KESEPADUAN NASIONAL (SEMANGAT KENEGARAAN)

Latar Belakang Negeri

Sabah yang juga dikenali sebagai Negeri di Bawah Bayu merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia dengan kawasan yang menjangkau 72,500 km persegi. Negeri ini terletak bersempadan dengan negeri Sarawak dan Kalimantan Timur, Indonesia. Struktur geografi negeri ini adalah campuran kawasan pantai, pergunungan dan hutan hujan tropika. Ibu negeri Sabah ialah Kota Kinabalu yang dahulunya dikenali sebagai Jesselton. Sabah mempunyai 26 daerah merangkumi Kota Kinabalu, Tongod, Lahad Datu, Kinabatangan, Tawau, Nabawan, Beluran, Ranau, Keningau, Sipitang, Tenom, Sandakan, Telupid, Kota Marudu, Beaufort, Pitas, Kota Belud, Tambunan, Kudat, Papar, Tuaran, Semporna, Kunak, Kuala Penyu, Penampang dan Putatan.

Di bawah peruntukan Artikel 13 dan 14 Perlembagaan Negeri Sabah, Badan Perundangan Negeri Sabah terdiri daripada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Dewan Undangan Negeri Sabah. Dewan Undangan Negeri Sabah terdiri daripada seorang Speaker, dua orang Timbalan Speaker dan 60 Ahli Dewan Undangan Negeri dan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri merupakan Ketua Negeri Sabah. Beliau dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Ketua Menteri Sabah. Yang di-Pertua Negeri kini ialah Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin. Beliau merupakan Yang di-Pertua Negeri yang ke-sepuluh dan dilantik mulai 1 Januari 2011.

Jata Negeri

Jata atau mohor sabah versi terkini telah digunakan sejak 16 September 1988. Jata ini memaparkan sepasang tangan yang menjulang megah memegang Bendera Sabah melambangkan semangat perpaduan erat dan kerjasama yang lama terjalin dalam kalangan rakyat pelbagai kaum demi mencapai kemajuan dan kejayaan bagi negeri Sabah. Sebarisan lima warna berlainan di bawah sepasang tangan tersebut merupakan lima bahagian ‘bahagian’ yang terkandung dalam negeri Sabah.Jata negeri Sabah mempunyai lima warna iaitu biru zirkon melambangkan keamanan dan ketenteraman, biru salji melambangkan perpaduan dan kemakmuran, biru nilakandi melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama, putih melambangkan kemurnian dan keadilan, dan merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan. Lukisan grafik berbentuk bayangan Gunung Kinabalu pula melambangkan negeri Sabah. Di bahagian bawah jata ini, terdapat cogan kata negeri Sabah, iaitu ‘Sabah Maju Jaya’.

Bendera Negeri

Bendera negeri Sabah yang mula digunakan sejak 16 September 1988 memaparkan lima warna mewakili lima bahagian yang terkandung dalam negeri Sabah. Lukisan grafik berbentuk Gunung Kinabalu melambangkan Kerajaan Negeri Sabah. Bahagian hujung bendera yang berkibar dihiasi tiga jalur yang sama besar; jalur atas berwarna biru muda, jalur tengah berwarna putih dan jalur bawah berwarna merah cili. Warna biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian dan keadilan, manakala merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan. Warna biru cerah menunjukkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama.

Lirik Lagu Negeri

Sabah tanah airku

Negeri kita yang tercinta

Pemuda pemudi semua marilah

Bangunlah bersatu semua

Marilah bersama serta maju jaya

Merdeka sepanjang masa

Bersatu segala bangsa sentosa

Sabah negeri merdeka

Artikel/Berita Terkini

WASPADA PENIPUAN TAWARAN RUMAH SABAH MAJU JAYA, PPRT

SANDAKAN (2 Mei): Penduduk kawasan Batu Sapi dinasihati agar tidak mudah terpedaya dengan penipuan mengenai pembinaan rumah Sabah Maju Jaya (SMJ), …
Maklumat Lanjut

PENGUSAHA PELANCONG DIMINTA CARI PELABUR MAJUKAN KAWASAN PELANCONGAN

TAWAU (2 Mei): Pengusaha pusat pelancongan perlu mencari pelabur sama ada dari dalam atau luar negara supaya boleh memajukan kawasan …
Maklumat Lanjut

ENAM LELAKI DITAHAN, DADAH BERNILAI LEBIH RM120,000 DIRAMPAS DI TAWAU

TAWAU (2 Mei): Polis menahan enam lelaki dengan merampas kira-kira dua kilogram dadah jenis syabu dalam kejadian di Kampung Indera …
Maklumat Lanjut