PASTIKAN TIADA PENYELEWENGAN DAN KETIRISAN MINYAK MASAK PAKET BERSUBSIDI

Kerajaan mengerahkan pihak penguat kuasa untuk menggempur daripada peringkat kilang pembungkusan hingga ke sempadan negara bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan minyak masak paket bersubsidi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya operasi akan dilaksana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu bertujuan memastikan peruntukan subsidi minyak masak RM4 bilion tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.

“Tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen yang telah diberikan kepada pengilang dan pembungkus akan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi.

Kerajaan akan melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif, meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket yang beroperasi di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL).

Mesyuarat itu turut dihadiri beberapa Menteri Kabinet serta wakil daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM); Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER); Institut Penyelidikan Khazanah (KRI); Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM); Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS); Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).

Ismail Sabri berkata perangkaan semasa menunjukkan edaran minyak masak paket bersubsidi di dalam negara berjumlah 60,000 tan metrik sebulan adalah melebihi daripada penggunaan isi rumah dalam negara.

Pada 22 Jun lepas, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan mengekalkan subsidi minyak yang telah bermula sejak Jun 2007 bagi minyak masak paket berharga RM2.50 satu kilogram untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40, berbanding harga pasaran sebenar iaitu RM9.00.

Katanya mesyuarat yang menyaksikan lima kertas kerja dibentangkan juga bersetuju sekuriti makanan dijadikan keutamaan dalam konteks Keselamatan Dalam Negeri bagi mengatasi masalah itu yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup Keluarga Malaysia.

Selain itu, katanya kerajaan akan memperhebat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) sepanjang masa dengan jualan barangan keperluan asas pada harga lebih murah yang bakal melibatkan kerjasama strategik bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan serta diperluas ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.

Ismail Sabri berkata program yang akan diterajui bersama KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan turut dilaksanakan dalam konsep bergerak.

“Kerajaan akan turut memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia di restoran-restoran koperasi dan kafeteria serta premis jualan makanan di IPT sebagai alternatif bagi mendapatkan hidangan pagi, tengah hari dan malam pada harga yang berpatutan.

“Kerajaan sentiasa mendengar keluhan Keluarga Malaysia dan berusaha untuk memastikan cabaran kos sara hidup dapat dihadapi dengan sebaik mungkin,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

APAKAH AKAUN 3 KWSP (AKAUN FLEKSIBEL)

Akaun Fleksibel atau Akaun 3 KWSP adalah akaun baharu yang terdiri daripada 10% jumlah simpanan ahli. Akaun ini bertujuan untuk …
Maklumat Lanjut

TINDAKAN KES DIHASILKAN DIBAWAH AKTA CAP DAGANGAN 2019

RANTAU PANJANG : Pegawai Penguat Kuasa KPDN, Kelantan telah menerima serahan kes daripada Batalion 7 Pasukan Gerakan AM berkaitan membanteras …
Maklumat Lanjut

SISA TEKSTIL TAK TERKAWAL ANCAM TAPAK PELUPUSAN SAMPAH

Tapak pelupusan sampah di seluruh negara bakal berdepan masalah kritikal sekiranya pembuangan sisa tekstil yang mengambil masa 200 tahun untuk …
Maklumat Lanjut