KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN BERANGKAT MENYEMPURNAKAN ISTIADAT KONVOKESYEN UITM KE-93

SHAH ALAM, 15 Jun 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam, Selangor semalam.

Turut berangkat KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan Sultan Selangor DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah serta DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut barisan pengurusan tertinggi UiTM.

Pada istiadat tersebut, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Canselor UiTM telah berkenan mewasalkan pemasyhuran DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu berkuatkuasa 18 Okt 2021 hingga 17 Okt 2024.

Seri Paduka Baginda, di dalam Titah Diraja sempena istiadat tersebut, menyeru kepada semua institusi pengajian tinggi (IPT) agar menerapkan elemen kejujuran, amanah dan integriti dalam setiap jiwa mahasiswa.

Seri Paduka Baginda bertitah pembudayaan integriti hendaklah wujud dalam setiap jiwa dan sanubari rakyat bermula daripada bangku sekolah dan terus ditanam serta diperkasakan ketika di menara gading.

Seri Paduka Baginda turut memuji pencapaian graduan UiTM yang telah berjaya mencipta nama di persada dunia menerusi pencapaian akademik yang cemerlang, khususnya para graduan daripada bidang perakaunan.

Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dengan prestasi dan pencapaian UiTM yang kini berada pada kedudukan yang membanggakan dalam senarai penarafan universiti di Asia dan dunia pada 2021 dan 2022.

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 ini berlangsung secara bersemuka bermula hari ini hingga 6 Julai menyaksikan seramai 27,287 graduan akan menerima sijil penganugerahan ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing.

Daripada jumlah itu, seramai 169 graduan akan menerima Ijazah Doktor Falsafah; 1,243 Ijazah Sarjana; 62 Profesional; 163 Diploma Lepasan Ijazah; 9,024 Ijazah Sarjana Muda dan 16,626 graduan menerima Diploma.

Sumber: Laman FB Istana Negara

Artikel/Berita Terkini

APAKAH AKAUN 3 KWSP (AKAUN FLEKSIBEL)

Akaun Fleksibel atau Akaun 3 KWSP adalah akaun baharu yang terdiri daripada 10% jumlah simpanan ahli. Akaun ini bertujuan untuk …
Maklumat Lanjut

TINDAKAN KES DIHASILKAN DIBAWAH AKTA CAP DAGANGAN 2019

RANTAU PANJANG : Pegawai Penguat Kuasa KPDN, Kelantan telah menerima serahan kes daripada Batalion 7 Pasukan Gerakan AM berkaitan membanteras …
Maklumat Lanjut

SISA TEKSTIL TAK TERKAWAL ANCAM TAPAK PELUPUSAN SAMPAH

Tapak pelupusan sampah di seluruh negara bakal berdepan masalah kritikal sekiranya pembuangan sisa tekstil yang mengambil masa 200 tahun untuk …
Maklumat Lanjut