KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG DAN KDYMM SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG BERKENAN BERANGKAT KE ISTIADAT PERBARISAN SEMPENA HUT KE-64 TUDM

SUBANG, 1 Jun 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan sempena Hari Ulang Tahun Ke-64 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Affendi bin Buang, Panglima Tentera Udara Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Mohammad Salleh bin Osman.

Sebaik keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua, nyanyian lagu Negaraku dan Perwira Di Angkasa kemudian dialunkan Gabungan Pancaragam TUDM sebelum Seri Paduka Baginda berdua menerima penghormatan Diraja disertai lintas hormat lima helikopter yang membawa bendera Jalur Gemilang, bendera ATM dan bendera TUDM.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas itu mencemar duli memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 23 pegawai dan 420 anggota Lain-Lain Pangkat, diketuai oleh Lt Kol Hassan Basri Tajul Ariffin dengan menaiki kenderaan istiadat.

Kontinjen perbarisan kali ini membawa Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu Panji-Panji Kolej Tentera Udara, No 10 Skuadron, No 12 Skuadron, No 15 Skuadron, No 16 Skuadron, No 18 Skuadron dan No 20 Skuadron bersama empat Skuadron Pengawal.

Perbarisan berkonsep Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat turut disertai terbang lintas hormat pesawat-pesawat TUDM iaitu Sukhoi Su-30MKM, BAE Hawk dan F/A-18D Hornet, pesawat angkut A400M dan pesawat latihan PC-7 MKII. Helikopter EC 725 AP, AW 139 turut serta membuat lintas hormat buat julung kalinya dalam istiadat itu.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan Titah Diraja sebagai menzahirkan sokongan Baginda kepada TUDM dan seluruh warga udara dalam istiadat bertemakan ‘Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara’ itu.

Sumber: Laman FB Istana Negara

Artikel/Berita Terkini

KUALA TERENGGANU, BANDARAYA WARISAN PESISIR AIR

Kuala Terengganu merupakan ibu negeri Terengganu, sebuah negeri di Malaysia yang terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia. Bandaraya ini mempunyai …
Maklumat Lanjut

KETAHUI KEPERLUAN KALORI ANDA

Setiap makanan yang kita makan akan menghasilkan tenaga. Tenaga yang terhasil daripada proses pembakaran makanan dalam tubuh ini dikenali sebagai …
Maklumat Lanjut

ENAM PERISTIWA PENTING YANG BERLAKU PADA BULAN SYAWAL

Bulan Syawal merupakan bulan ke-10 dalam takwim Hijrah. Pada 1 Syawal, umat Islam merayakan Hari Raya Aidilfitri sebagai perayaan setelah …
Maklumat Lanjut