DASAR KESELAMATAN NEGARA 2021 – 2025
NILAI TERAS KESELAMATAN 7: PEMBANGUNAN MAMPAN (Impak Pembangunan Bandar Dan Luar Bandar)
Kepala Batas, Seberang Perai Utara, 27 April 2022 : Majlis Penyerahan Masjid Jamek Permatang Bogak telah berlangsung di antara pihak Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada 26 April 2022. Masjid ini telah dibina dengan kos sebanyak RM 5.5 juta daripada hasil sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan. Ianya boleh mencapai kapasiti maksimum lebih kurang seramai 1,160 orang hingga 1,200 orang jemaah dalam satu-satu masa.
Pembinaan masjid ini telah bermula dengan proses menimbun tanah sejak 20 Mac 2018. Manakala pembinaan struktur bangunan dimulai pada 2 Ogos 2019 sehingga masjid ini berjaya disiapkan sepenuhnya dan diserahkan kepada MAINPP pada 27 April 2022.
Majlis penyerahan Masjid Permatang Bogak ini telah disempurnakan oleh YB. Datuk Hj. Shabudin bin Yahaya, merangkap Ahli Parlimen Tasek Gelugor. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dato’ Shamsudin bin Bakar (Setiausaha MAINPP), Dato’ Azman (Pengarah ICU Pulau Pinang), wakil JHEAIPP, Ahli Jawatankuasa Masjid dan Unit Kariah Pejabat Agama Daerah SPU Kepala Batas.
Masjid Jamek Permatang Bogak yang dinamakan Masjid Jamek Tan Sri Dato’ Abdul Aziz Mohammad Zain yang terletak di Permatang Bogak, Penaga, SPU ini dijangka akan dibuka untuk solat Jumaat dan beroperasi secara rasmi pada 29 April 2022. Pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan melibatkan kariah di kawasan Permatang Bogak terutama sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.
Sumber:
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang