DKN 2021-2025: NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 1 (KEDAULATAN DAN KEUTUHAN WILAYAH)

NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 1: KEDAULATAN DAN KEUTUHAN WILAYAH

Kedaulatan negara dan keutuhan wilayah merupakan teras kepada kestabilan dan keselamatan sesebuah negara. Kewujudan Perekutuan Malaysia sepertimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang merangkumi negeri-negeri Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu, dan Wilayah-Wilayah Persekutuan hendaklah dipelihara dan dikekalkan.

Persekutuan Malaysia terdiri dari tanah daratan dan sungai, kawasan perairan dan ciri maritim, ruang udara dan angkasa lepas yang membentuk ciri sifat gerografi negara ini. Kedaulatan Malaysia turut merangkumi perairan laut wilayah dan hak- hak berdaulat (sovereign rights) ke atas zon maritim Malaysia selaras dengan undang-undang antarabangsa yang berkaitan. Pernyataan ini adalah selaras dengan dokumen Peta Baru Malaysia 1979. Kedaulatan Malaysia turut merangkumi kedaulatan di dalam domain siber sejajar perkembangan semasa ketamadunan manusia yang kini berada di dalam Revolusi Industri Ke-4.

Kepentingan- kepentingan negara baik di dalam mahupun di luar negara juga merupakan perkara-perkara yang terangkum di dalam kedaulatan negara. Malaysia perlu melindungi dan mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah serta setiap kepentingan negara dari ancaman dalam dan luar negara.

Sesungguhnya, faktor keselamatan merupakan salah satu tonggak yang penting dan menjadi asas kepada kejayaan kita dalam mengekalkan kemerdekaan, keamanan dan kesejahteraan negara.

β€œKeselamatan Negara Tanggungjawab Bersama”