CEROBOH HUTAN, TANAM DURIAN MUSANG KING

KUANTAN, 22 FEBRUARI 2022 – Pintu pagar elektrik terpaksa dipecah untuk masuk ke kawasan tanaman durian Musang King yang ditanam secara haram dalam hutan di Sungai Lembing, di sini, semalam.

Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di Kampung Kolong Pahat dan Kampung Seberang, Sungai Lembing selama empat jam bermula 10 pagi berjaya memusnahkan lebih 200 pokok durian Musang King, berusia antara empat hingga lima tahun.

Pegawai Hutan Daerah Kuantan, Pekan dan Maran, Norshazlee Roslee berkata, seramai 110 anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang dan Unit Penguat kuasa Negeri Pahang (UPNP) menyertai operasi berkenaan yang berjalan lancar.

Menurutnya, pihaknya terpaksa bertindak tegas memusnahkan lebih 200 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan hutan, milik kerajaan.

Katanya, pemantauan dilakukan mendapati kawasan berbukit seluas lebih lapan hektar diceroboh, namun aktiviti pertanian secara berteres hanya dilakukan dalam kawasan kira-kira satu hektar membabitkan tanaman durian Musang King dan pisang serta beberapa jenis tanaman lain.

“Dalam kawasan berkenaan turut terdapat lebih 2,500 pokok durian Musang King berusia satu hingga dua tahun yang akan dimusnahkan secara berperingkat tidak lama lagi.

“Kita juga akan musnahkan rumah kongsi dan rumah kuasa solar yang terdapat di kawasan hutan milik kerajaan,” katanya, di sini semalam.

Turut sama memantau hari pertama operasi berkenaan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah.

Sumber: Harian Metro (https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/02/812855/ceroboh-hutan-tanam-durian-musang-king-metrotv)

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …